GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Nazarali SaerilAmir Abd HamidMuhamaad Razis Ismail dan Muhammad Saufi Hassan dan Nurul Husna Mahmud


Kuala Lumpur: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) fokus terhadap penggunaan teknologi sebagai satu daripada keutamaan penyelesaian isu pergantungan terhadap import makanan negara.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, penggunaan teknologi turut menjamin sekuriti makanan melalui peningkatan produktiviti dan pengeluaran hasil sektor pertanian.

Menurutnya, tumpuan diberikan kepada pemodenan sektor pertanian yang diterjemahkan dalam Dasar Agromakanan Negara (DAN) 2.0 dan program kementerian di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12).

"Ini dapat dicapai menerusi aplikasi prinsip Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0) seperti Internet of Things (IoT), Big Data, Blockchain, artificial intelligence (kecerdasan buatan) dan lain-lain.

"Fokus turut diberi kepada aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) teknologi berteraskan IR4.0 bagi meningkatkan produktiviti dan hasil tani antaranya seperti sistem pintar jentera tanpa pemandu, dron pintar, sistem robotik pintar dan 'smart housing and mobility facility.'

"Selain itu, sistem kawalan pemantauan pintar bagi tanaman membabitkan nutrien pokok, keadaan tanah, iklim dan air serta sistem perancang pengeluaran pintar berasaskan blockchain bagi meningkatkan kecekapan rantaian pengeluaran dan bekalan di pasaran," katanya berhubung isu sekuriti makanan negara.

Bermula 2 Mei lalu, laporan khas bersiri isu sekuriti makanan negara disiarkan Harian Metro yang mendedahkan pengimportan makanan negara dalam lima tahun naik 22.3 peratus iaitu kepada RM55.4 bilion pada 2020 berbanding RM45.3 bilion pada 2015.

Ronald berkata, dalam usaha menggalakkan petani, penternak, nelayan dan usahawan industri makanan meningkatkan penggunaan teknologi moden berteraskan IR4.0, akses kepada pembiayaan bagi kumpulan sasar turut ditawarkan dengan kadar pembiayaan yang menarik dan berisiko rendah.

"Pelbagai inisiatif dan pembiayaan ditawarkan kerajaan menerusi program pembiayaan Modenisasi Rantaian Nilai Agromakanan menerusi Agrobank iaitu sebanyak RM60 juta bagi tahun 2021.

"Kerajaan juga peka dan prihatin dengan cabaran dihadapi usahawan tani pada masa sekarang khususnya ketika pandemik Covid-19.

"Terdapat pelbagai program dan inisiatif direncanakan menerusi belanjawan bagi meringankan beban seperti program Ladang e-Satelit dengan peruntukan RM10 juta secara geran padanan sehingga RM30 ribu kepada setiap Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK), bertujuan pembelian peralatan pertanian berasaskan Internet of Things (IoT) seperti dron," katanya.

Beliau berkata, produk Agro-Youth Entrepreneur Scheme atau Agro-YES juga dilancarkan, iaitu kemudahan pembiayaan sehingga RM500,000 melalui Agrobank.

Skim itu, katanya, bertujuan membantu Agropreneur Muda mendapatkan pembiayaan pertanian bagi projek pengembangan seperti tanaman, ternakan, perikanan dan industri makanan.

"Ia juga dijangka menjadi pemangkin dalam meningkatkan pendapatan Agropreneur Muda melalui peningkatan hasil pengeluaran khususnya dengan aplikasi teknologi moden dan inovasi hasil pertanian," katanya.

Berita berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Mei 2021 @ 1:08 PM