GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Nazarali SaerilAmir Abd HamidMuhamaad Razis Ismail dan Muhammad Saufi Hassan dan Nurul Husna Mahmud


Kuala Lumpur: Penggunaan bangunan terbiar untuk dijadikan sebagai pusat pertanian dilihat antara alternatif untuk melaksanakan aktiviti pertanian dalam kawasan dengan keluasan tanah yang terhad.

Sehubungan itu, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) menggalakkan aktiviti pertanian dalam bangunan terbiar melalui penggunaan teknologi moden dan inovasi.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, sebagai contoh, pengenalan tanaman oleh Mafi melalui Mardi.

"Mardi memperkenalkan teknologi kilang tanaman atau plant factory serta penanaman hidroponik bertingkat atau vertical farming bagi meningkatkan kepadatan tanaman pada ruang yang terhad.

"Asasnya, kilang tanaman adalah sistem pengeluaran sayuran dalam bangunan. Semua elemen diperlukan seperti cahaya, suhu, gas rumah kaca iaitu gas karbon dioksida (CO2) dan kelembapan dikawal secara tiruan dengan sokongan sistem kawalan pembajaan serta pengairan secara mekanisasi dan automasi.

"Menerusi teknologi ini juga mampu mengurangkan sisa racun kimia serta pencemaran

air dan tanah," katanya berhubung isu sekuriti makanan negara.

Bermula 2 Mei lalu, laporan khas bersiri isu sekuriti makanan negara disiarkan Harian Metro yang mendedahkan pengimportan makanan negara dalam lima tahun naik 22.3 peratus iaitu kepada RM55.4 bilion pada 2020 berbanding RM45.3 bilion pada 2015.

Mengulas lanjut alternatif bangunan terbiar sebagai pusat pertanian, Ronald berkata, petani juga boleh mendapatkan hasil tani sepanjang tahun.

"Ini kerana sistem yang dicipta itu terhindar daripada perubahan cuaca ekstrem seperti banjir, ribut, kemarau atau hujan lebat.

"Bagaimanapun, pelaksanaan program seumpama ini memerlukan persetujuan pelbagai pihak seperti pemilik bangunan serta kebenaran daripada pihak berkuasa tempatan untuk dilaksanakan," katanya.

Berita berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Mei 2021 @ 12:23 PM