ISMAIL Sabri (tengah) diiringi Ronald (depan, lima kiri) bergambar bersama pemenang anugerah ketika majlis perasmian Pameran Maha. FOTO Hairul Anuar Rahim
ISMAIL Sabri (tengah) diiringi Ronald (depan, lima kiri) bergambar bersama pemenang anugerah ketika majlis perasmian Pameran Maha. FOTO Hairul Anuar Rahim
Amir Abd Hamid


Serdang: Ekonomi negara yang terkesan akibat pandemik Covid-19 dan ketegangan geopolitik dan perubahan iklim dunia sejak 2020 semakin pulih berikutan pelbagai inisiatif kerajaan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob.

Beliau berkata, di sebalik kepincangan rantaian bekalan makanan dunia, kerajaan kekal komited dalam mengurus isu kekurangan bekalan makanan biarpun berdepan dengan pelbagai kekangan.

Justeru, katanya, kerajaan berusaha menangani manipulasi 'orang tengah' dan 'kewujudan kartel' dalam sektor pertanian dan rangkaian bekalan makanan yang menyebabkan kenaikan harga barang dan inflasi.

"Semalam, Suruhanjaya Persaingan (MyCCC) juga sudah mengeluarkan keputusan cadangan terhadap lima perusahaan makanan ternakan yang bersekongkol dalam menaikkan harga makanan ayam.

"Ini amaran kerajaan terhadap kartel yang cuba memanipulasi harga dan pasaran. Beberapa langkah intervensi telah dilaksanakan kerajaan bagi mengukuhkan sekuriti bekalan makanan negara antaranya membatalkan kelulusan kuota import (AP), melaksanakan sekatan eksport ayam, mewujudkan stok pail ayam dan ikan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan merasmikan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro-Pelancongan Malaysia (Maha) 2022 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps), Selangor, di sini, hari ini, yang turut dihadiri Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, beberapa Menteri dan Timbalan Menteri serta Menteri Besar.

Maha dijangka menarik lebih sejuta pengunjung sepanjang dua minggu pameran, berlangsung antara 4 hingga 14 Ogos bertemakan Sekuriti Makanan Untuk Masa Depan.

Perdana Menteri berkata, dalam langkah intervensi baru-ini, kerajaan memberikan subsidi berjumlah RM 1.1 bilion bagi meringankan beban penternak ayam sekali gus memastikan bekalan pengeluaran ayam dan telur mencukupi serta menjamin kestabilan harga.

"Langkah-langkah ini terbukti telah menunjukkan kejayaan di mana hari ini bekalan ayam bukan sahaja berlebihan bahkan harga ayam juga lebih rendah daripada paras harga siling yang ditetapkan oleh kerajaan iaitu RM 9.40 sekilogram.

"Selain itu, saya pernah mengisytiharkan 'jihad memerangi orang tengah' pada tahun 2014 ketika menerajui Kementerian Pertanian Dan Industri Asas Tani kerana tindakan orang tengah yang mengeksploitasi petani dan nelayan dengan memanipulasi harga di pasaran.

"Jihad ini perlu diteruskan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) menerusi strategi penguasaan rantaian bekalan dengan kerjasama agensi di bawahnya seperti mewujudkan pusat pembelian padi, pusat pengumpulan buah-buahan, penambahan pasar tani serta pasar nelayan," katanya.

Beliau berkata, kerajaan memastikan isu sekuriti makanan negara sentiasa diberi perhatian menerusi Jawatankuasa Teknikal Menangani Isu Sekuriti Bekalan Makanan Negara dan Jawatankuasa Pasukan Jihad Tangani Inflasi.

Apa pun, katanya, kerajaan akan terus memainkan peranan efektif dengan kerjasama semua pihak dalam menjamin bekalan makanan yang mencukupi dan selamat pada harga berpatutan secara berterusan untuk kesejahteraan Keluarga Malaysia.

"Saya ingin mengingatkan kejayaan untuk memantapkan jaminan sekuriti makanan di masa hadapan serta memajukan dan mentransformasi sektor agromakanan adalah tanggungjawab kita bersama sebagai Keluarga Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Ogos 2022 @ 12:30 PM