GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Nazarali SaerilAmir Abd HamidMuhamaad Razis Ismail dan Muhammad Saufi Hassan dan Nurul Husna Mahmud

Kuala Lumpur: Pelbagai usaha dibuat bagi mengukuhkan sekuriti makanan negara sekali gus meningkatkan kedudukan Malaysia dalam Global Food Security Index (GFSI).

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) bakal melancarkan Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0) yang sedang dalam proses penggubalan akhir.

Menurutnya, menerusi DAN 2.0, Mafi akan menyusun semula keutamaan dalam menggerakkan teras utama bagi memperkasakan sektor pertanian dan industri makanan melalui kerangka yang bertunjangkan prinsip yang spesifik.

"Prinsip spesifik itu adalah memacu sektor agromakanan agar berdaya saing tinggi dan inovatif.

"Memastikan kebajikan petani, nelayan dan penternak terus dibela. Menjamin pengeluaran makanan yang mampan bagi padi, buah-buahan, sayur-sayuran, ternakan, dan perikanan," katanya mengenai isu sekuriti makanan.

Bermula 2 Mei lalu, laporan khas bersiri isu sekuriti makanan negara disiarkan Harian Metro yang mendedahkan pengimportan makanan negara dalam lima tahun naik 22.3 peratus iaitu kepada RM55.4 bilion pada 2020 berbanding RM45.3 bilion pada 2015.

Untuk rekod kedudukan GFSI ranking Malaysia pada 2020, berada di tempat ke-43 daripada 113 negara, ia jatuh berbanding kedudukan ke-28 pada 2019.

Tahun lalu, Finland, Ireland dan Belanda berada di tiga tempat teratas dalam petunjuk prestasi sekuriti makanan itu.

Ronald berkata, kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin amat komited dalam memperkukuhkan sektor agromakanan negara dengan menambahkan lagi usaha bagi meningkatkan kualiti dan jaminan sekuriti makanan.

"Kerajaan mengutamakan agenda sekuriti makanan dalam memastikan bekalan makanan negara kekal terjamin dalam apa jua keadaan, khususnya ketika negara berhadapan dengan pandemik Covid-19 seperti yang dialami sekarang.

"Pengeluaran produktiviti beras tempatan juga akan ditingkatkan bagi mencapai sasaran Tahap Sara Diri (SSL) sehingga 75% dalam tempoh Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) sekaligus bagi menangani kebergantungan terhadap import makanan.

"Mafi juga akan meningkatkan stokpail beras negara secara berperingkat bagi tujuan sekuriti bekalan makanan negara," katanya.

Menurutnya, usaha untuk memastikan kestabilan bekalan import makanan itu akan diterjemah menerusi kerjasama dalam bidang diplomasi makanan secara tersasar mengikut negara sumber import yang berpotensi.

"Antaranya seperti kerjasama strategik di bawah Rizab Beras Kecemasan Asean+3 (APTERR) untuk menjamin keselamatan dan bekalan makanan yang berterusan kepada rakyat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Mei 2021 @ 4:46 PM