Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Ipoh: Polis menganggap kes lelaki membunuh dan mengerat mayat ibunya kepada 15 potongan di Taman Kerian, Parit Buntar sudah selesai dan akan merujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR).

Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, kes berkenaan dianggap selesai susulan penahanan suspek berusia 42 tahun itu yang kini masih direman.

"Sebagaimana saya beritahu sebelum ini, suspek sememangnya pernah mendapatkan rawatan sakit mental di sebuah hospital swaata di Pulau Pinang namun tidak lagi menerima rawatan susulan," katanya.

Beliau mengulas demikian ketika sidang media selepas merasmikan pembukaan Bilik VVIP di Restoran Nasi Kandar Vanggey, Greentown Business Centre di sini, hari ini.

Sebelum ini, Mior Faridalathrash dilapor berkata suspek pernah mendapat rawatan pesakit mental di sebuah hospital kira-kira 20 tahun lalu namun tidak pernah menerima sebarang rawatan susulan selepas itu.

Bau busuk luar biasa yang dihidu jiran di tempat kejadian. selain laporan mengenai kehilangan mangsa beberapa hari sebelumnya membongkar penemuan 15 potongan mayat ibu lelaki berkenaan yang dibuang dalam tangki kumbahan.

Tidak puas hati mengenai pembahagian harta pusaka peninggalan bapanya dikenal pasti sebagai motif pembunuhan mangsa yang sebelum tinggal di tempat kejadian bersama anaknya itu sejak 12 tahun lalu.

Keadaan rumah mangsa yang dikerat 15 bahagian di Taman Kerian,Parit Buntar. FOTO ARKIB NSTP
Keadaan rumah mangsa yang dikerat 15 bahagian di Taman Kerian,Parit Buntar. FOTO ARKIB NSTP

Sementara itu, Mior Faridalathrash berkata, tindakan pantas dapat dilakukan di peringkat Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) terhadap sebarang isu yang ditularkan di media sosial berikutan kewujudan unit khusus di Bukit Aman untuk memantaunya.

Menurutnya, unit terbabit ditugaskan memantau sebelum menyalurkan sebarang isu berkait yang tular di media sosial ke kontinjen negeri mahupun daerah yang berkaitan.

"Tugas unit ini adalah memantau apa juga isu viral berkaitan polis yang mana selepas diperoleh, isu itu akan disalurkan pula ke kontinjen polis negeri atau daerah dan kita akan (terus) respon.

"Oleh itu, saya mengalukan maklumat oleh orang awam untuk disalurkan kepada pihak polis bagi membolehkan kami bertindak lebih cepat dan berkesan," katanya.

Beliau mengulas mengenai tindakan pantas dilakukan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak susulan kes video tular memaparkan penagih dadah yang dipercayai sedang menghisap barang terlarang itu di sebuah rumah di Chenderong Balai, Teluk Intan baru-baru ini.

Berikutan itu, seorang lelaki berusia 46 tahun ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) IPD Hilir Perak pada 5 petang kelmarin bersama empat plastik lut sinar berisi bahan disyaki dadah jenis heroin dengan anggaran berat 27.75 gram.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Jun 2022 @ 3:51 PM