Shaiful Shahrin Ahmad


Parit Buntar: Lelaki yang ditahan kerana disyaki membunuh dan mengerat mayat ibunya kepada 15 bahagian dikatakan tidak pernah menerima rawatan mental susulan selepas 20 tahun.

Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalatrash Wahid berkata, rawatan pada 20 tahun lalu itu diterimanya di sebuah pusat perubatan swasta di Pulau Pinang.

Katanya, sebelum itu polis menerima laporan kehilangan mangsa yang berusia 68 tahun pada 28 Mei lalu yang dibuat oleh anak perempuannya.

"Bertindak atas laporan itu, Ketua Balai Polis (KBP) Parit Buntar telah membuat pemeriksaan ulangan di rumah mangsa (di Taman Kerian) dan menjumpai potongan daging dipercayai daging manusia.

"Susulan itu maklumat segera disampaikan kepada Bahagian Siasatan Jenayah," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, suspek berusia 42 tahun yang tinggal serumah dengan mangsa ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, seorang penduduk yang enggan dikenali berkata, mereka langsung tidak mengesyaki kejadian jenayah berlaku di rumah berkenaan sehinggalah tercium bau yang kurang menyenangkan semalam.

Tambahnya, suspek seorang yang pendiam dan kebanyakan penduduk di situ jarang menegurnya.

Berita berkaitan:

  • Kerat ibu 15, tak puas hati pembahagian harta pusaka
  • Kerat 15 tubuh ibu: Bau busuk luar biasa bongkar pembunuhan kejam
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Jun 2022 @ 1:39 PM