Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Polis sudah memanggil kekasih kepada wanita yang mayatnya ditemukan terbakar di kawasan tepi sungai di Kampung Talang Hulu, dekat Simpang Lawin, di sini, petang kelmarin.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, lelaki berusia 20 tahun itu dipanggil untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan kes terbabit.

"Kita sudah memanggil kekasih mangsa jam 2.45 petang semalam dan kita sedang menjalankan siasatan.

"Jadi, pada ketika ini biarlah polis menjalankan siasatan berhubung kes ini dan kita akan memaklumkan hasil siasatan nanti," katanya pada sidang media selepas hadir pada Majlis Penganugerahan `Pride Of Workmanship' kepada barisan hadapan Polis Diraja Malaysia (PDRM) oleh Kelab Rotary Malaysia di Mes Pegawai Kanan Polis Kontinjen Perak, Jalan Sultan Azlan Shah, di sini, hari ini.

Mior Faridalathrash Wahid.
Mior Faridalathrash Wahid.

Hadir sama, Gabenor Kelab Rotary Malaysia (Rotary District 3300 Malaysia), Datuk Bindi Rajasegaran.

Mior Faridalathrash berkata, sama ada kekasih mangsa mempunyai kaitan dengan kes itu juga masih dalam siasatan.

"Kedua-dua mangsa dan teman lelakinya itu tidak bekerja. Kita masih lagi menyiasat butir-butir terperinci berkaitan kekasih mangsa, jadi kita akan maklumkan hasil siasatan nanti," katanya.

Beliau berkata, setakat ini belum ada sebarang tangkapan.

"Bedah siasat dibuat pagi ini bagi mengenalpasti punca kematian. Selepas itu kita akan mengesan suspek dan motif sebenar kejadian ini," katanya.

Semalam, media melaporkan polis menerima laporan mengenai kehilangan wanita berbangsa India jam 2.45 petang selepas dikatakan tidak pulang ke rumah.

Laporan kehilangan individu dibuat adik lelaki mangsa berusia 19 tahun dipercayai berkaitan dengan penemuan mayat terbakar berdasarkan beberapa barangan dipakai mangsa.

Susulan itu identiti mangsa bunuh sudah dikenal pasti sebagai seorang wanita berusia 21 tahun.

Mayat wanita itu ditemukan dalam keadaan terbakar di tepi sungai di Kampung Talang Hulu, dekat Simpang Lawin, Kuala Kangsar.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Jun 2022 @ 1:13 PM