Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Polis sudah melengkapkan kertas siasatan berhubung isu helikopter mendarat di Padang Ipoh, di sini untuk mengambil pesanan 36 bungkus nasi ganja 23 Julai lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, kertas siasatan sebelum ini juga sudah dirujuk kepada Pengarah Pendakwaan Negeri Perak Jumaat lalu.

"Saya difahamkan, kertas siasatan juga akan dirujuk kepada pihak AG Chambers (Jabatan Peguam Negara) untuk mendapat arahan lanjut.

"Jadi, kita sedang menunggu keputusan daripada Jabatan Peguam Negara," katanya ketika ditemui pada Program Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Perak 2021 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Stadium Indera Mulia di sini, hari ini.

"Kita hanya mengambil keterangan lima mereka yang terbabit iaitu yang pertama kita rekod kenyataan pengadu iaitu pihak Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).

"Selain itu, kita akan semak juga mereka lain yang terbabit termasuk pemilik nasi ganja," katanya.

MIOR Faridalathrash mengedarkan pelekat magnet dan Jalur Gemilang kepada penerima vaksin pandu lalu di Stadium Indera Mulia. FOTO Balqis Jazimah Zahari
MIOR Faridalathrash mengedarkan pelekat magnet dan Jalur Gemilang kepada penerima vaksin pandu lalu di Stadium Indera Mulia. FOTO Balqis Jazimah Zahari

Dalam perkembangan lain, beliau turut mengulas berhubung isu sebuah syarikat yang menganjurkan pemberian durian secara percuma di bawah jejambat Jalan Temenggong ke Jalan Sekolah, Parit Buntar Jumaat baru-baru ini.

"Sepertimana yang dimaklumkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin semalam, kita mencadangkan kalau hendak memberi durian percuma pun hantar rumah ke rumah. Janganlah serbu macam itu kerana tiada penjarakan fizikal.

"Bagaimanapun, kita akan menyiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan mengambil tindakan sewajarnya ke atas mereka yang terbabit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Ogos 2021 @ 12:54 PM