PESTA buku terbesar di Malaysia itu tidak dianjurkan secara fizikal selama dua tahun. FOTO Rohani Shukri
PESTA buku terbesar di Malaysia itu tidak dianjurkan secara fizikal selama dua tahun. FOTO Rohani Shukri
Natrah Laili Abdul Aziz


Kuala Lumpur: Hadiah misteri daripada aktiviti roda akhbar adalah antara tarikan utama yang disediakan reruai The New Straits Times Press (NSTP) di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2022, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, di sini.

Dengan hanya bermodalkan RM4, pengunjung boleh menyertai aktiviti roda akhbar itu sekali gus memperoleh tiga akhbar cetak Harian Metro, Berita Harian dan New Straits Times.

Pengurus Langgan Agihan Pemasaran NSTP, Kaifimirza Hamzah berkata, gerai NSTP menerima kira-kira 3,500 pengunjung meliputi keluarga, guru dan pelajar sejak 3 Jun lalu.

"Setakat ini, pengunjung berpuas hati dengan apa yang ditawarkan pihak kami kerana mereka boleh memperoleh tiga akhbar selain hadiah sampingan menanti.

"Ini kerana kami ingin menarik perhatian pengunjung untuk membeli selain memberi peluang kepada mereka supaya sentiasa kemas kini dengan berita semasa.

"Aktiviti roda akhbar juga menjadi tarikan utama kerana ramai pengunjung yang hadir ke sini membawa anak," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Kaifirmiza berkata, selain itu, terdapat juga pelbagai novel boleh diperoleh berharga RM10 yang menampilkan sembilan penulis seperti Aminah Mokhtar.

Hasil tinjauan Harian Metro mendapati petugas di reruai NSTP sentiasa sedia memberi penerangan berkaitan pelan akhbar digital, novel dan hadiah sampingan kepada pengunjung.

Pengunjung yang juga seorang guru, Aeda Lianawati Embok Cheni, 42, berkata, dia tertarik dengan hadiah yang boleh diperoleh daripada aktiviti di gerai itu.

"Ini merupakan pengalaman baru kerana selain membeli akhbar, kami juga dapat pelbagai hadiah lumayan seperti baucar.

"Memang kami akan cari pempamer yang membuat promosi kombo seperti yang ditawarkan NSTP kerana ia bukan perkara biasa dan hanya boleh dapat pada pesta buku ini sahaja," katanya.

- tamat

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Jun 2022 @ 1:43 PM