Mohd Roji Kawi


Kuching: Karnival Jom Heboh (KJH) Segulai Sejalai Sarawak yang menawarkan keriangan hiburan untuk sekeluarga membuka tirainya hari ini.

Kemeriahan mula dirasai seawal jam 9 pagi di Dataran Perayaan Petra Jaya di kompleks Stadium Sarawak apabila orang ramai mula mengunjungi tapak karnival.

Pelbagai acara menarik ditawarkan di semua 130 reruai sepanjang tiga penganjuran pesta itu sehingga Ahad ini.

Bagi pengunjung yang ingin merasai pengalaman zaman 'Jurassic' bawalah keluarga anda ke reruai Dinoland kendalian The New Straits Times Press Berhad (NSTP).

Reruai Dino Land NSTP itu menampil 13 dinosaur bersaiz raksasa termasuk dinosaur robotik yang pasti membuatkan anak-anak anda merasai pengalaman seolah-olah berada di zaman purba.

Pengurus Besar Jabatan Pengedaran NSTP, M Prakash berkata, tiket untuk memasuki Dino Land ditawarkan pada harga hanya RM20 untuk sekeluarga.

Pengunjung mendapatkan maklumat mengenai Dino Land daripada kakitangan NSTP. FOTO Mohd Roji Kawi
Pengunjung mendapatkan maklumat mengenai Dino Land daripada kakitangan NSTP. FOTO Mohd Roji Kawi

"Ini bermakna satu keluarga tanpa mengira jumlah sama ada datang lima orang atau 10 orang boleh masuk sekali dengan hanya RM20.

"Dengan pembelian tiket berharga RM20 itu juga pengunjung berpeluang mendapat pengalaman mendekati dan bergambar dengan koleksi dinosaur," katanya.

Dengan pembelian tiket Dino Landitu juga pengunjung akan menerima 'goodies bag' yang mengandungi pelbagai hadiah menarik.

Menurutnya lagi, pengunjung yang mahu mendapatkan cenderahati menarik berupa payung, kemeja T serta beg Anugerah Bintang Popular Berita Harian 35 (ABPBH 35) juga boleh mendapatkannya kerana ia turut dijual di reruai NSTP.

" Selain itu kami juga menyediakan kemudahan kepada pengunjung untuk mengimbas kod QR bagi mendaftar platform digital NSTP seperti Berita Harian, Harian Metro dan New Straits Times.

"Dengan mendaftar di platform digital itu, orang ramai boleh mendapatkan berita terkini menerusi dalam talian kerana tiada akhbar NSTP diedarkan di Sarawak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 January 2024 @ 10:36 AM