Omar Ahmad


Johor Bahru: Bakal jemaah haji dinasihatkan supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP), terutama ketika mengadakan kenduri doa selamat sebelum berlepas ke Tanah Suci bagi mengelakkan penularan Covid-19.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama Senator Datuk Idris Ahmad berkata, ia juga bertujuan untuk mengelakkan jadual penerbangan yang diaturkan terjejas jika ada jemaah dijangkiti virus itu.

Katanya, difahamkan ada bakal jemaah haji kumpulan pertama didapati positif Covid-19 sebelum berlepas ke Makkah semalam berikutan dijangkiti virus itu selepas mengadakan kenduri doa selamat.

"Saya harap supaya bakal jemaah haji lebih berjaga-jaga ketika penganjuran kenduri (doa selamat) sebelum bertolak ke Makkah.

"Hendak anjurkan kenduri tidak salah, tetapi kena berjaga-jaga, takut menjejaskan jadual penerbangan," katanya pada Majlis Perasmian Penutup Pertandingan Memanah Sekolah Menengah Agama Peringkat Kebangsaan ke-3 di sini, hari ini.

Idris berkata, bagi urusan bakal jemaah haji yang dijangkiti Covid-19 dikendalikan sepenuhnya Tabung Haji (TH) dan mereka masih berpeluang mengerjakan haji musim ini kerana penerbangan terakhir pada Julai.

"Jika mereka positif, mereka ada masa lagi (menjalani kuarantin dan rawatan) kerana penerbangan akhir sama ada pada 2 atau 3 Julai nanti.

"Sekiranya mereka sihat insya-Allah boleh terbang (ikut kumpulan lain tunaikan ibadah haji). Jika seorang atau dua (bakal jemaah haji positif Covid-19) mungkin tidak ada masalah, TH boleh uruskan," katanya.

Semalam Pengarah Eksekutif Haji TH, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, tiga daripada 295 jemaah haji kumpulan pertama ke Tanah Suci musim ini disahkan positif Covid-19.

Sebanyak 48 penerbangan Malaysia Airlines dan Saudia Airlines akan membawa jemaah haji Malaysia ke Tanah Suci, dengan penerbangan terakhir pada 3 Julai.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Jun 2022 @ 3:16 PM
Idris Ahmad bersama kontinjen Selangor yang menjadi Juara Keseluruhan pada Pertandingan Memanah Sekolah Menengah Agama (MESMA) Peringkat Kebangsaan kali ke 3 di Arena Emas, Taman Impian Emas. FOTO OMAR AHMAD
Idris Ahmad bersama kontinjen Selangor yang menjadi Juara Keseluruhan pada Pertandingan Memanah Sekolah Menengah Agama (MESMA) Peringkat Kebangsaan kali ke 3 di Arena Emas, Taman Impian Emas. FOTO OMAR AHMAD