Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar ketika sidang media selepas menyambut kepulangan kumpulan pertama jemaah haji di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar ketika sidang media selepas menyambut kepulangan kumpulan pertama jemaah haji di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Raja Noraina Raja Rahim


Sepang: Lembaga Tabung Haji (TH) sudah melaksanakan badal haji untuk lapan jemaah haji yang tidak sempat menyempurnakan ibadah terbabit akibat meninggal dunia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, setakat ini seramai 18 jemaah haji negara iaitu 13 lelaki dan lima perempuan berusia antara 37 hingga 79 tahun meninggal dunia di Tanah Suci.

"Kebanyakan mereka yang meninggal dunia disebabkan oleh serangan jantung dan mendapat jangkitan kuman pada darah.

"Daripada 18 jemaah haji yang meninggal dunia, 10 jemaah sempat berwukuf pada 9 Zulhijjah lalu, manakala urusan badal haji bagi bakinya lapan jemaah yang tidak sempat berwukuf sudah disempurnakan oleh pihak TH tanpa sebarang kos tambahan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyambut ketibaan kumpulan pertama membabitkan 280 jemaah haji yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, malam ini.

Ketibaan mereka menerusi penerbangan AMAL by Malaysia Airlines MH 8251 pada 9.30 malam turut disambut Pengerusi TH, Tan Sri Abdul Rashid Hussain serta Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman.

Mengulas lanjut, Dr Mohd Na'im berkata, tiada jemaah Malaysia yang dilaporkan meninggal dunia akibat strok haba.

Katanya, meskipun berdepan keadaan cuaca agak panas sehingga mencecah 50 darjah selsius namun kesemua jemaah negara dapat melaksanakan ibadah itu dengan baik.

Selain itu, katanya, seperti kelaziman pihaknya bersama TH serta agensi lain akan mengadakan sesi pascanilai (post mortem) untuk mengenalpasti aspek penambahbaikan yang perlu dilakukan untuk musim haji yang akan datang.

"Inilah yang selalu saya mahukan untuk melakukan perubahan positif dalam pengurusan hal ehwal Islam," katanya.

Sebanyak 100 penerbangan sewa khas disediakan oleh AMAL by Malaysia

Airlines dan Saudia Airlines bagi membawa kesemua jemaah haji pulang ke tanah air bermula hari ini sehingga 20 Julai.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Jun 2024 @ 11:15 PM