Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar menyambut kepulangan kumpulan pertama jemaah haji di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar menyambut kepulangan kumpulan pertama jemaah haji di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Raja Noraina Raja Rahim


Sepang: Selepas hampir dua bulan berada di Tanah Suci, kumpulan pertama membabitkan 280 orang jemaah haji Malaysia tiba di tanah air, hari ini.

Kumpulan jemaah itu yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz, Jeddah, selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, melalui penerbangan AMAL by Malaysia Airlines MH 8251 pada 9.30 malam.

Ketibaan mereka disambut oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar bersama Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Tan Sri Abdul Rashid Hussain serta Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman.

Dr Mohd Na'im berkata, jemaah menerusi kelolaan TH dapat melaksanakan operasi haji tahun ini dengan tertib dan jaya meskipun berdepan cabaran termasuk keadaan cuaca.

"Walaupun menghadapi beberapa keadaan yang amat mencabar seperti keadaan cuaca panas terik, namun kesemua jemaah tetap dapat melaksanakan ibadat dengan selamat, teratur dan mempamerkan tahap disiplin tinggi.

"Tahniah diucapkan kepada TH kerana sekali lagi meletakkan sepenuh komitmen dalam menyampaikan perkhidmatan bermutu tinggi dan tatakelola pengurusan yang amat cekap dengan pelbagai penambahbaikan demi kelancaran serta keselesaan jemaah," katanya ketika ditemui pemberita.

Kumpulan sulung itu berlepas ke Tanah Suci pada 8 Mei lalu melalui KLIA dengan masing-masing dari negeri Kedah, Perlis dan Kelantan.

Mengulas lanjut, Dr Mohd Na'im berkata, kesungguhan dipamerkan TH terbukti dengan pengiktirafan oleh Kerajaan Arab Saudi melalui Anugerah Labbaittom bagi kategori kepuasan tertinggi dalam perkhidmatan buat kali ketiga berturut-turut.

Sementara itu, Syed Hamadah berkata, matlamat dan objektif yang digariskan untuk operasi haji kali ini berjaya dicapai antaranya membantu menyelaras hampir kesemua jemaah haji supaya dapat melaksanakan wuquf di Arafah pada 9 Zulhijjah lalu.

Beliau berkata, 71 jemaah haji yang mengalami masalah kesihatan dan terlantar di Pusat Rawatan TH turut dibawa berwuquf di Arafah menggunakan lapan bas yang diubahsuai melalui program Safari Wuquf supaya mereka dapat menyempurnakan rukun haji kedua itu.

"TH sememangnya komited dalam usaha memastikan keselesaan dan keselamatan jemaah terjamin sepanjang melaksanakan ibadah haji.

"Alhamdulillah atas beberapa pembaharuan dan inisiatif diambil membuatkan operasi haji kali ini berjalan lancar dan tiada sebarang insiden tidak diingini berlaku," katanya.

Beliau turut berterima kasih kepada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi, Syarikat Mashariq serta semua agensi yang terbabit operasi haji termasuk sukarelawan, Sahabat Maktab.

Sebanyak 100 penerbangan sewa khas disediakan oleh AMAL by Malaysia

Airlines dan Saudia Airlines bagi membawa kesemua jemaah haji pulang ke tanah air bermula hari ini sehingga 20 Julai.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Jun 2024 @ 10:43 PM