Wan Ahmad Fayhsal
Wan Ahmad Fayhsal
Nor Fazlina Abdul Rahim

Kota Bharu: Polis membuka kertas siasatan terhadap Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal susulan lima laporan polis diterima pihaknya berhubung kenyataan peruntukan dilencongkan.

Ketua Polis Daerah Machang, Ahmad Shafiki Hussin, berkata Ketua Armada BERSATU itu disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana fitnah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Susulan kenyataan Ahli Parlimen Machang mengenai peruntukan yang dilencongkan, polis Machang menerima lima laporan polis semalam dan kelmarin.

"Laporan polis dibuat oleh pihak terbabit kerana ketidakpuasan hati berkaitan kenyataan Ahli Parlimen berkenaan selain mahu membersihkan imej mereka.

"Susulan itu, pihak polis membuka kertas siasatan dan siasatan sudah dijalankan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya.

Jelasnya, orang ramai dan pihak tertentu dinasihatkan tidak menggunakan kemudahan rangkaian telekomunikasi media untuk menyebarkan isu yang boleh menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam.

Media sebelum ini melaporkan, wakil daripada tiga parti politik dalam Kerajaan Perpaduan dan wakil Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Parlimen Machang membuat laporan polis terhadap Ahli Parlimen Machang.

Naib Ketua UMNO Bahagian Machang, Mohd Fakaaruddin Ismail, berkata laporan polis oleh beliau dan wakil dari AMANAH serta PKR dibuat berikutan dakwaan oleh Wan Ahmad Fayhsal yang mengatakan peruntukan kepada ahli Parlimen terbabit dilencongkan kepada parti politik yang menyokong Kerajaan Perpaduan.

Beliau berkata, pihaknya menafikan sekeras-kerasnya kenyataan Ahli Parlimen Machang itu yang dianggapnya fitnah, berniat jahat, selain mempunyai pandangan serong terhadap parti-parti politik Kerajaan Perpaduan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Julai 2024 @ 7:46 AM