ANGGOTA bomba mengangkat mayat mangsa.
ANGGOTA bomba mengangkat mayat mangsa.
Amirul Aiman Hamsuddin


Kuala Selangor: “Dunia terasa gelap seketika apabila menemui mayat anak yang berpakaian lengkap ketika operasi pencarian di sekitar pantai itu,” kata bapa kepada seorang lelaki yang ditemui lemas di perairan Pantai Sungai Yu, Pasir Penambang, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 7.55 malam kelmarin, bot dinaiki mangsa, Pua Jee Keong, 32, dan dua rakannya karam ketika mereka dipercayai mahu menangkap ikan di kawasan berkenaan.

Kebocoran bot itu menyebabkan mangsa lemas dan hilang manakala dua rakannya berjaya diselamatkan nelayan yang kebetulan melalui lokasi terbabit.

Bapa mangsa yang enggan dikenali berkata, mendiang sempat menghubunginya pada malam kejadian memaklumkan bot dinaiki bocor selain mengalami masalah teknikal pada enjin.

“Dia (anak) memberitahu air mula memasuki setiap sudut bot dan enjin bot turut gagal dihidupkan.

“Cemas dengan insiden itu, saya bergegas ke Jeti Sungai Yu dan cuba menghubunginya namun gagal,” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, dia kemudian nekad turun ke sungai itu untuk mencari anaknya yang dikhuatiri lemas.

“Namun, saya gagal menjumpai anak dan rakannya lalu segera menghubungi bomba untuk tindakan lanjut.

“Ketika turut menyertai operasi pencarian, saya melihat sendiri mayat mendiang terapung di air tanpa sebarang cacat cela pada tubuhnya,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Superintendan Mohd Asri A Wahab mengesahkan kejadian berkenaan dan mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut.

“Mayat mangsa yang ditemui kira-kira dua batu nautika dari persisiran pantai dibawa naik oleh pihak bomba sebelum diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 September 2017 @ 9:25 AM