HIRUNISA (kiri) menerima sumbangan dan faerah Perkeso yang disampaikan Hasrunizah. FOTO Ihsan Perkeso Johor.
HIRUNISA (kiri) menerima sumbangan dan faerah Perkeso yang disampaikan Hasrunizah. FOTO Ihsan Perkeso Johor.
Togi Marzuki


Pontian: Kesedaran dua nelayan mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) memberi manfaat kepada waris ditinggalkan selepas kedua-duanya ditemui lemas ketika keluar menangkap ikan, 2 Jun lalu.

Allahyarham Abu Bakar Muhammad, 57, dan Khalid Muhammad, 71, mencarum di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) menerusi potongan elaun sara hidup nelayan, hasil kolaborasi strategik antara Perkeso dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

Pemergian kedua-duanya membolehkan waris ditinggalkan menerima Faedah Pengurusan Mayat (FPM) dan Faedah Orang Tanggungan (FOT).

Timbalan Pengarah Perkeso Johor, Jamalludin Muhammad berkata, arwah Abu Bakar mencarum selama setahun bagi 15 Jun 2021 hingga 14 Jun 2022, yang membolehkan isterinya, Hirunisa Sandari, 54, menerima FPM RM2,000 dan FOT sebanyak RM567 sebulan.

Katanya, arwah Khalid pula mencarum bagi tempoh 15 Oktober 2021 hingga 14 Oktober 2022 yang membolehkan anaknya, Jamarina, 35, menerima FPM bernilai RM2,000.

"Sehingga 9 Jun 2022, seramai 387,884 individu kategori Orang Bekerja Sendiri (OBS) termasuk nelayan mencarum dengan SKSPS Perkeso.

"Bantuan dalam bentuk pembiayaan padanan caruman di bawah Pelan Caruman 2 SKSPS ini akan dibiayai oleh kerajaan sebanyak 80 peratus, manakala baki 20 peratus perlu dibayar oleh OBS.

"Disebabkan itu, kita menggalakkan individu yang bekerja sendiri agar mencarum demi perlindungan diri sendiri dan ahli keluarga, " katanya yang ditemui selepas penyampaian faedah kepada waris dua nelayan berkenaan di sini.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pulai Sebatang, Hasrunizah Hassan dan Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Johor, Intan Suhaila Othman.

Sementara itu, Hirunisa berkata, sangat bersyukur menerima faedah itu yang sekali gus meringankan beban ditanggung keluarganya.

"Arwah ketua keluarga yang sangat bertanggungjawab, pelbagai aktiviti dilakukan untuk tambah pendapatan dan kehilangannya sangat dirasai," katanya.

Bagi anak Khalid, Jamarina, 35, keprihatinan Perkeso menyampaikan sumbangan faedah Perkeso sangat dihargai, meskipun mereka sudah kehilangan bapa kesayangan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Jun 2022 @ 12:50 AM