Gambar Hiasan
Gambar Hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Bekas Ahli Lembaga Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas pertuduhan mengaibkan kehormatan seorang bekas peguam wanita dengan menghantar video lucah melalui aplikasi WhatsApp, tahun lalu.

Yeo Kwi Seng, 68, didakwa melakukan perbuatan itu terhadap mangsa berusia 52 tahun di sebuah suite di Tingkat 5, Plaza Imbi, di sini antara 23 Mei dan 16 Jun 2021.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan Nom Phot Prackdit menawarkan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin, manakala peguam Kitson Foong yang mewakili tertuduh, tidak membantah jumlah itu.

"Yeo merupakan bapa kepada dua anak dan dia seorang yang terkemuka. Oleh itu, tidak ada risiko untuk dia melarikan diri," kata peguam itu.

Majistret Wong Chai Sia membenarkan Yeo diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 Julai ini untuk sebutan kes.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mei 2022 @ 5:42 PM