hli keluarga Allahyarham Siti Ara Kadir menyambut raya sambil bermain boling di pusat beli-belah di sini, semalam. FOTO IHSAN PEMBACA
hli keluarga Allahyarham Siti Ara Kadir menyambut raya sambil bermain boling di pusat beli-belah di sini, semalam. FOTO IHSAN PEMBACA
Ahmad Hasbi


Nilai: Mungkin mengadakan rumah terbuka sambutan Aidilfitri sudah menjadi kebiasaan, justeru cucu cicit kepada Allahyarham Siti Ara Kadir menyambut lebaran sambil bermain boling di pusat beli-belah di sini, semalam.

Lebih unik kira-kira 200 ahli keluarga lengkap memakai baju raya tradisional sambil bermain boling diiringi lagu raya serta pelbagai juadah raya.

Hashim Hassan, 62, yang juga cucu kepada Siti Ara berkata, kebanyakan generasi ketiga dan seterusnya semakin tidak mengenali satu sama lain.

"Sudah lama kami bercadang untuk melakukan acara seperti ini bagi merapatkan kembali silaturahim antara cucu cicit Siti Ara kerana kebanyakannya membuat sudah berjauhan dan hanya berhubung melalui telefon atau media sosial.

"Malah yang muda juga sudah tidak mengenali sepupu mereka kerana hubungan yang jauh. Jadi kami merancang untuk mengadakan acara untuk berkumpul bersama sempena Aidilfitri kali ini," katanya.

Hashim berkata, keluargamua memilih untuk mengadakan pertandingan boling memandangkan ahli keluarga dapat berkenalan dan berinteraksi antara satu sama lain.

"Jika kami adakan rumah terbuka, mungkin perlu menempah dewan yang besar kerana jumlah ahli keluarga yang ramai. Malah mungkin ada juga yang tidak dapat bertemu mata kerana datang pada waktu berbeza.

"Jadi dalam pertandingan boling ini, setiap ahli kumpulan ditetapkan daripada keluarga yang berbeza dan mereka boleh berkenalan dan bermesra. Mereka juga tidak dibenarkan pulang selagi permainan belum tamat," katanya.

Hashim berkata, bagi memeriahkan suasana, juadah hari raya seperti ketupat, lemang, rendang dan biskut raya disediakan selain hadiah yang disampaikan kepada pemenang diisi di dalam sampul raya.

"Nenek berasal dari Salak Tinggi, Selangor dan kini hanya tinggal seorang anaknya yang masih hidup berusia 75 tahun. Kebanyakan kami tinggal di beberapa daerah di Selangor," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Mei 2022 @ 4:25 PM