Asrol Awang


Kuantan: Pengarah syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas pertuduhan memperdayakan sebuah syarikat besi dan keluli berjumlah RM7.3 juta pada 2019 lalu.

Tertuduh Teh Teng Cheng, 52 membuat pengakuan selepas kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Alliance Steel (M) Sdn Bhd, Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan (MCKIP), Gebeng, di sini, pada 28 Jun 2019.

Teng Cheng didakwa menipu Alliance Steel dengan memperdayakan syarikat terbabit dengan cara mengemukakan Manual Perubahan Akaun Penerimaan Pembayaran Projek.

Berikutan itu, tertuduh dengan curangnya mendorong Alliance Steel melakukan bayaran ke dalam akaun bank atas nama Sureland Industrial Fire Safety (M) Sdn Bhd berjumlah RM7,382,813.00 di mana Alliance Steel tidak akan melakukan bayaran itu sekiranya tidak diperdayakan sedemikian.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak kurang dari satu tahun dan tidak lebih dari 10 tahun dan sebatan dan denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Siti Sarah Zainal Abiddin, manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd Shahrullah Khan Nawab Zadah Khan.

Ahmad Zamzani menetapkan jaminan RM750,000 dengan dua penjamin warga Malaysia, selain perlu melapor diri di Pejabat SPRM terdekat sebulan sekali bermula bulan depan dan menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Mahkamah kemudian menetapkan 30 Jun ini untuk sebutan semula kes berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Mei 2022 @ 1:13 PM
Teng Cheng dibawa ke mahkamah sesyen atas dakwaan menipu Kilang Besi Keluli MCKIP, untuk membayar RM7.3 juta tiga tahun lalu, di Kompleks Mahkamah Indera Mahkota. FOTO FARIZUL HAFIZ AWANG
Teng Cheng dibawa ke mahkamah sesyen atas dakwaan menipu Kilang Besi Keluli MCKIP, untuk membayar RM7.3 juta tiga tahun lalu, di Kompleks Mahkamah Indera Mahkota. FOTO FARIZUL HAFIZ AWANG