Nurulain (dua dari kanan) dibawa penguat kuasa SPRM selepas mengaku tidak bersalah terhadap empat pertuduhan menyalahgunakan kuasa untuk mengeluar dan meluluskan pesanan kerajaan berjumlah RM45,572.30. FOTO Rasul Azli Samad
Nurulain (dua dari kanan) dibawa penguat kuasa SPRM selepas mengaku tidak bersalah terhadap empat pertuduhan menyalahgunakan kuasa untuk mengeluar dan meluluskan pesanan kerajaan berjumlah RM45,572.30. FOTO Rasul Azli Samad
Nur Saliawati Salberi

my

Melaka: Bekas Penolong Pengarah Perbadanan Stadium Melaka dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, hari ini atas pertuduhan menyalahgunakan kuasa dengan mengeluar dan meluluskan pesanan kerajaan membabitkan jumlah lebih RM45, 500 antara September 2014 hingga April 2015.

Tertuduh, Nurulain Norazmi, 30,bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Norma Ismail terhadap empat pertuduhan ke atasnya.

Dia didakwa mengeluar dan meluluskan pesanan kerajaan membabitkan pelbagai peralatan termasuk pembersihan dan cat untuk Stadium Hang Tuah dan Stadium Hang Jebat berjumlah RM45,572.30 kepada syarikat adiknya.

Semua kesalahan itu dilakukan tertuduh di Bahagian Pengurusan dan Kewangan Perbadanan Stadium Melaka pada September dan Disember 2014 serta Januari dan April 2015.

Bagi perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM Mohammed Heikal Ismail yang mewakili pihak pendakwaan memohonmah kamah memberikan jaminan RM15,000 terhadap tertuduh.

Tertuduh yang diwakili peguam Mohd Shahrullah Khan Nawab Zadah Khan merayu supaya jumlah jaminan dikurangkan kerana tertuduh sudah berhenti kerja dan kini mengandung enam bulan serta mempunyai anak kecil.

Selepas mendengar hujah kedua-kedua pihak mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 bagi keempat-empat pertuduhan selain menetapkan 19 September sebagai tarikh sebutan

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Ogos 2016 @ 12:49 PM