TERTUDUH dibawa anggota polis atas dakwaan berkaitan kes pembelian dan penjualan sijil yang tidak bertauliah di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. FOTO Zulfadhli Zulkifli
TERTUDUH dibawa anggota polis atas dakwaan berkaitan kes pembelian dan penjualan sijil yang tidak bertauliah di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. FOTO Zulfadhli Zulkifli
Nur Lela Zulkipli


EKSEKUTIF jualan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini, atas tuduhan meminta suapan wang tunai RM3,500 sebagai upah mendapatkan sijil diploma bagi universiti swasta tanpa mengikut prosedur pembelajaran yang betul.

Tertuduh, Vijayakumar, 34, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Azman Ahmad.

Lelaki itu didakwa secara rasuah meminta untuk dirinya daripada Muhamad Amir Safwan Rusli, suatu suapan wang tunai sebanyak RM3,500 sebagai upah mendapatkan sijil Diploma in Business Administration daripada universiti itu atas nama Mohd Amirul Hakim Rusdi tanpa mengikut prosedur pembelajaran yang betul.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di restoran makanan segera di Persiaran Perdana, Bandar Sri Damansara di sini pada jam 2.40 petang, 18 Januari 2018, mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Jika sabit kesalahan boleh dihukum di bawah seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Nor Ameelyna Zaini menawarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin.

Sementara tertuduh yang diwakili peguam Mohd Shahrullah Khan Nawab Zadah Khan memohon supaya jaminan dibenarkan RM2,000 atas alasan anak guamnya memberi kerjasama baik dengan SPRM.

“Anak guam saya mempunyai seorang isteri yang tidak bekerja dan saya memohon jaminan dibenarkan RM2,000 untuk pertuduhan ini.

“Jaminan yang ditetapkan juga hanya untuk memastikan tertuduh hadir ke mahkamah,” katanya.

Pihak pendakwaan turut memberitahu mahkamah bahawa tertuduh (Vijayakumar) telah didakwa di Mahkamah Shah Alam atas seksyen sama, semalam.

“Saya memohon supaya kes ini di pindahkan ke Mahkamah Shah Alam dan tarikh 9 April telah diberikan oleh Mahkamah Shah Alam,” kata Nor Ameelyna.

Peguam Mohd Shahrullah Khan bagaimanapun, tidak membantah permohonan itu.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,500 dengan seorang penjamin dan kes dipindahkan ke Mahkamah Shah Alam.

Mahkamah kemudian menetapkan 9 April untuk sebutan semula kes di Mahkamah Shah Alam.

Semalam, Vijayakumar dan peniaga Mark Aaron Pious, 34, masing-masing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas tuduhan menerima suapan wang tunai RM3,000 atas kesalahan sama.

Mahkamah membenarkan Vijayakumar diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin, serta pasport diserahkan kepada mahkamah.

Pada 30 dan 31 Januari lalu, tertuduh turut mengaku tidak bersalah di mahkamah sama serta Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga pertuduhan meminta dan menerima rasuah juga berkaitan sijil tidak bertauliah.

Berita berkaitan:

  • Didakwa terima rasuah untuk palsukan sijil diploma
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 April 2019 @ 3:44 PM