Asrol Awang


Kuantan: Guru besar sebuah sekolah di Raub dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas dakwaan mengemukakan dokumen palsu bagi tuntutan bayaran pembekalan makanan untuk program sukan sekolah, kira-kira lima tahun lalu.

Bagaimanapun, tertuduh Lee Wai Teng, 58, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan d`ibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memberikan dokumen kepada pembantu tadbir sekolah terbabit iaitu set tuntutan bayaran pembekalan makanan untuk Program Klinik Sukan Prasekolah pada 6 Disember 2017.

Bagaimanapun, secara prinsipalnya tertuduh mempunyai kepentingan dan mengandungi butir matan palsu, tetapi sebenarnya pembekalan makanan itu tidak dilakukan.

Bagi pertuduhan itu, Wai Teng didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama.

Jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai butir matan palsu atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Manakala bagi pertuduhan pilihan, tertuduh pada 6 Disember 2017 dengan curangnya menggunakan suatu dokumen sebagai tulen iaitu set bayaran pembekalan makanan untuk program sama bertarikh 21 November 2017 iaitu tertuduh mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa dokumen itu adalah palsu.

Oleh itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 465 kanun yang sama.

LEE Wai Teng (tengah), dibawa ke mahkamah sesyen, atas pertuduhan mengemukan tuntuan palsu. FOTO Farizul Hafiz Awang
LEE Wai Teng (tengah), dibawa ke mahkamah sesyen, atas pertuduhan mengemukan tuntuan palsu. FOTO Farizul Hafiz Awang

Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pegawai Pendakwa SPRM Kamariah Seman mencadangkan jaminan RM10,000 terhadap tertuduh dengan seorang penjamin.

Dalam rayuan, Wai Teng yang diwakili peguam, Chuah Shyue Chien memohon ikat jamin dikurangkan.

Ahmad Zamzani kemudian membenarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin dan mengenakan syarat tambahan kepada tertuduh untuk melaporkan diri di pejabat SPRM berhampiran setiap awal bulan bermula September depan.

Beliau menetapkan 15 September ini untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Ogos 2022 @ 3:30 PM