FOTO hiasan
FOTO hiasan
BERNAMA

Kuantan: Bekas pengurus perolehan Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas enam tuduhan menerima rasuah berjumlah RM160,000 dan sebuah kereta Mazda CX-5, sejak tujuh tahun lalu.

Pengakuan Sani Khan Ali Khan, 46, direkodkan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zin.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu antara 2014 dan Disember 2018 di sekitar Kuantan termasuk di pejabat PAIP, sebuah restoran di Indera Mahkota dan premis perniagaan yang didakwa sebagai upah untuk dia membantu satu syarikat mendapatkan kerja membekal dan menghantar barangan kepada PAIP.

Suapan itu didakwa diperoleh menerusi wang tunai dengan nilai antara RM30,000 dan RM114,930 yang dimasukkan ke akaun sebuah syarikat berkaitan tertuduh atau selain didakwa bersetuju menerima suapan 50 peratus hasil keuntungan yang diperoleh syarikat dibantunya daripada kerja-kerja membabitkan PAIP.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali nilai suapan, jika sabit kesalahan.

Selain itu, tertuduh juga didakwa menerima sebuah kereta Mazda CX-5 bernilai RM154,399.70 yang diketahuinya mempunyai hubungan rasmi dengan dirinya yang gagal dilaporkan kepada SPRM pada 9 Mac 2016.

Pendakwaan bagi kesalahan itu dibuat di bawah Seksyen 25(1) Akta SPRM yang boleh dihukum di bawah Seksyen 25(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding itu, peguam Datuk Mohd Najib Hussain memohon mahkamah mengurangkan jaminan RM50,000 yang ditawarkan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Muhammad Asraf Mohamed Tahir atas alasan tertuduh tidak dapat mengumpulkan wang yang banyak selain sudah didakwa atas 22 pertuduhan rasuah sebelum ini.

"Tertuduh menyara seroang ibu, isteri dan tiga anak. Akaun banknya dibekukan SPRM yang menambah kesukaran untuk tertuduh membayar jika jaminan tinggi dikenakan. Anak guam saya juga bersedia untuk bekerjasama dan berjanji akan menghadiri setiap prosiding," katanya.

Ahmad Zamzani membenarkan jaminan sebanyak RM30,000 dengan seorang pejamin bagi semua pertuduhan berserta syarat tambahan pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah dan tertuduh melaporkan diri di pejabat SPRM setiap bulan serta menetapkan sebutan semula kes pada 10 Mei ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 April 2021 @ 4:20 PM