PASUKAN penyelamat terdiri polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan penduduk kampung meneruskan operasi mencari dan menyelamat mangsa yang masih hilang. FOTO Bernama
PASUKAN penyelamat terdiri polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan penduduk kampung meneruskan operasi mencari dan menyelamat mangsa yang masih hilang. FOTO Bernama
Hazira Ahmad Zaidi


Kuala Krai: "Malam tadi, suami saya seakan mendapat 'bayangan' menerusi mimpi yang anak kami terapung di permukaan sungai," kata Miss Minawa Salleh, 41.

Miss Minawa berkata, susulan daripada mimpi itu, pada jam 7 pagi tadi, suaminya, Ku Zaid Tuan Tengah, 45, meminjam bot daripada orang kampung dan ditemani dua rakan mencari anak, Ku Nabila Ku Zaid, 15, di lokasi dia dipercayai lemas selepas mandi bersama dua sepupu di Sungai Kelantan berhampiran Pengkalan Feri Pasir Kelang, semalam.

"Sebanyak dua kali suami membuat pusingan dengan bot di lokasi Ku Nabila dipercayai lemas, namun tidak ada sebarang petunjuk sebagaimana mimpi.

"Walau bagaimanapun, kami sedaya-upaya berusaha dan bersama-sama membantu pasukan keselamatan mencari anak kami yang masih belum ditemui dan saya amat berharap agar Ku Nabila segera ditemukan sebagaimana dua sepupunya," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Media semalam melaporkan, tiga remaja Thailand iaitu dua perempuan dan seorang lelaki lemas selepas mandi di sungai itu sebaik selesai memancing dengan lokasi terletak 500 meter dari Pengkalan Feri Kelang Lama.

Ketika mandi, tiga remaja itu dibawa arus dan insiden dilihat saudara mereka yang kemudian meminta bantuan orang kampung.

Mangsa pertama berusia 15 tahun ditemukan pada 6.30 petang manakala mangsa kedua berumur 13 tahun pada 9 malam.

Miss Minawa berkata, sejak anaknya itu dipercayai lemas, mereka sekeluarga tidak putus berdoa kepada Allah dengan menunaikan solat hajat di lokasi kejadian supaya urusan pencarian dipermudahkan.

"Sejak semalam, saya dan suami banyak menghabiskan masa di pinggir sungai dan berharap jasad anak ditemukan segera tidak kira dalam apa jua keadaan sekalipun.

"Dia seorang anak yang baik dan tidak sangka rasa teruja dia untuk menghabiskan cuti sekolah berakhir dengan kejadian ini," katanya.

Miss Minawa berkata, dalam keadaan sekarang apa yang diperlukannya ialah sokongan dan kekuatan agar tabah menerima ketentuan Ilahi, namun berharap anaknya masih hidup.

Berita berkaitan

SAR remaja hilang di Sungai Kelantan diteruskan

Tragedi mandi sungai: Dua remaja disahkan lemas, sepupu masih hilang

Seorang lemas, dua masih hilang

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mei 2022 @ 3:10 PM