KETUA Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR
KETUA Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR
Saipul Adli Mohamad dan Nurul Hidayah Bahaudin


WAKTU melawat pesakit dan jumlah pelawat dibenarkan melawat hospital Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) kekal sama seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pelawat hanya dibenarkan masuk ke dalam wad bagi kes kecemasan atau kritikal, selain dalam keadaan memerlukan.

"Waktu melawat dipendekkan mengikut ketetapan hospital. Bagi temu janji klinik pula, hanya seorang peneman atau pengiring sahaja dibenarkan kecuali untuk pesakit kanak-kanak atau pesakit memerlukan bantuan kes kecemasan atau keadaan memerlukan.

"Polisi ini bagi mengurangkan risiko penularan Covid-19 di hospital serta memutuskan rantaian jangkitan wabak berkenaan secara berterusan.

"Ia penting bagi melindungi pesakit dan petugas kesihatan daripada dijangkiti virus itu," katanya dalam kenyataan media harian Covid-19 di Kuala Lumpur, ini.

Dr Noor Hisham berkata, pelaksanaan itu dapat mengurangkan kesesakan hospital serta membolehkan penjarakan sosial diamalkan.

Beliau berkata, semakan terhadap garis panduan itu akan dilakukan dari semasa ke semasa dan sebarang perubahan tertakluk kepada situasi semasa pandemik Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Julai 2020 @ 6:03 PM