Gambar tular menunjukkan stesen LRT sesak selepas berlaku gangguan. FOTO tular.
Gambar tular menunjukkan stesen LRT sesak selepas berlaku gangguan. FOTO tular.
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk menjalankan audit ke atas 26 set tren empat gerabak siri Bombardier 818.

Keputusan untuk membentuk jawatankuasa itu terdiri daripada negara asal pengeluar Bombardier dan juruaudit luar berpangkalan di Kanada dibuat berikutan gangguan membabitkan Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya pada Jumaat lalu.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, pengauditan yang dijadual bermula Selasa ini dijangka selesai dalam masa dua minggu.

"Kejadian baru-baru ini (membabitkan tren di Laluan Kelana Jaya) berlaku 11 hari selepas kejadian pertama (Stesen LRT Taman Jaya).

"Oleh itu, kita ingin tahu apakah isu teras dan masalah tren ini," katanya dalam sidang media selepas meninjau kemudahan di stesen LRT Ampang Park di sini, hari ini.

Siri Bombardier 818 yang mula beroperasi sejak 2009 adalah salah satu daripada empat tren yang beroperasi di sepanjang laluan LRT Kelana Jaya.

Perkhidmatan LRT Kelana Jaya tergendala selama dua jam pada Jumaat lalu selepas salah sebuah tren Bombardier terhenti akibat kebocoran hidraulik dan brek kaliper sehingga menjejaskan 22,100 penumpang.

Katanya, masalah itu berlaku sebelum tren itu dijadualkan menjalani Pembaikan Separuh Hayat (MLR), yang biasanya dilakukan 15 tahun selepas tren itu beroperasi.

"Kami ingin mengenal pasti mengapa brek kereta api itu merosot sebelum jangka hayatnya dan sebelum ia sepatutnya menjalani MLR.

"Selain memeriksa brek, pihak audit juga akan memeriksa bahagian lain kereta api bagi mengelak kejadian berulang baru-baru ini dan memastikan keselamatan penumpang," katanya.

Selain itu, Wee berkata, Prasarana turut mempelawa satu pasukan perunding luar bersama-sama dengan syarikat pengeluar peralatan asli (OEM) di China untuk melihat pelbagai permasalahan.

"Dari situ kita akan pastikan tindakan susulan diambil, ada juga kesulitan untuk mendapatkan alat ganti.

"Apa yang penting isu utama harus dikenal pasti dan apa yang menyebabkan berlakunya kebocoran brek hidraulik. Jadi kita kena beri tumpuan secara khusus untuk menyelesaikan masalah ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Mei 2022 @ 6:27 PM