Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Kementerian Pengangkutan (MOT) sudah melantik perunding bebas untuk melihat semua aspek termasuk jika ada unsur sabotaj dalam kejadian gangguan sistem kawalan tren automatik (ATC) pada Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya menyebabkan ia dihentikan sejak 9 November lalu.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong yang enggan mengulas lanjut mengenai siasatan itu bagaimanapun berkata, buat masa ini tumpuan utama adalah memastikan kemudahan pengangkutan awam itu boleh beroperasi semula dengan selamat untuk keselesaan pengguna.

Beliau berkata, ketika ini pihak pengilang sudah melaksanakan penukaran modem dan peranti 'power supply' bagi memastikan LRT Laluan Kelana Jaya boleh beroperasi semula.

Sementara itu, katanya, Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) akan memberi pampasan kepada pengguna yang terjejas akibat gangguan perkhidmatan dengan melanjutkan tempoh sah laku pas.

"Lanjutan tempoh sah laku pas itu seperti My50, iaitu pas tanpa had untuk pengguna perkhidmatan Rapid KL, akan bergantung kepada pihak pengurusan Prasarana.

"Kami melihat tidak adil jika seminggu tidak boleh guna (LRT) tetapi tetap membayar. Tempoh sah laku akan dilanjutkan, berapa lama bergantung kepada pengurusan Prasarana.

"Saya sudah dapat kepastian daripada Prasarana, itu yang akan dilakukan," katanya dalam sidang media berhubung isu gangguan perkhidmatan LRT laluan Kelana Jaya, selepas diberikan taklimat mengenainya di Kompleks Rapid Rail Subang, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Isham Ishak, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) Mohd Azharuddin Mat Sah dan Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Sdn Bhd Amir Hamdan.

Wee berkata, perkhidmatan LRT terpaksa digantung kerana Vehicle Control Centre (VCC) tidak stabil bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) keselamatan prasarana yang sedia ada.

Katanya, pakar dan jurutera luar negara Thales Group Kanada turut membantu pasukan jurutera Rapid Rail pelaksanaan penukaran modem dan peranti 'power supply' bagi memastikan LRT Laluan Kelana Jaya boleh beroperasi semula.

"Ujian akan dilakukan hari ini dan esok dengan dipantau pakar dan pengilang sebelum perkhidmatan LRT dibuka semula kepada orang awam.

"Kementerian dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) akan melakukan audit keselamatan selepas ujian ketiga, bagi memastikan LRT benar-benar selamat sebelum operasi semula," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 November 2022 @ 2:43 PM