Nur Izzati Mohamad


Butterworth: Seorang guru wanita dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di sini, atas dua pertuduhan menggunakan jawatannya untuk suapan pegawai badan awam membabitkan pembelian beberapa peralatan sukan hampir RM3,000 daripada syarikat pengurusan acara lima tahun lalu.

Tertuduh, Hazlina kasah, 46, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh sebagai badan awam iaitu Pegawai Pendidikan Siswazah Gred48 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pokok Sena menggunakan kedudukannya sebagai Ketua Panitia Pendidikan Jasmani dan Kesihatan untuk membeli pelbagai peralatan sukan bernilai RM2,353.66 daripada syarikat Hazwan Event Management yang ia adalah syarikat miliknya pada 17 Oktober 2017.

Bagi pertuduhan kedua pula, guru terbabit yang ketika ini Penolong Kanan Hal Ehwal Murid itu didakwa menggunakan syarikat sama untuk membeli kelengkapan sukan bernilai RM522.66 pada 19 Oktober 2017.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Azlan Basri manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Ketika prosiding, Mohamad Azlan memohon mahkamah mengenakan jaminan sebanyak RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan memandangkan kesalahan yang dilakukan adalah serius.

Bagaimanapun, tertuduh merayu supaya jaminan dapat dikurangkan kerana dia perlu menyara lima anak berusia antara sembilan dan 20 tahun yang masih bersekolah, selain perlu menanggung ibunya.

Hakim kemudian membenarkan tertuduh dikenakan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin, selain mengarahkan tertuduh menyerahkan dokumen perjalanan, melapor diri di pejabat SPRM sebulan sekali dan tidak dibenarkan mengganggu saksi kes.

Mahkamah menetapkan 27 Jun depan untuk sebutan semula kes dan lantikan peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Mei 2022 @ 12:10 PM