Mohd Amin Jalil


Seremban: Peniaga dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban di sini, hari ini, atas pertuduhan menerima suapan sebanyak RM15,000 pada 2017.

Khairul Husni Othman, 46, mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Diana Md Razali.

Tertuduh didakwa menerima rasuah RM15,000 daripada Ros Zunnurain Mohammad Razif sebagai dorongan melepaskan ibu kepada Ros Zunnurain daripada tahanan polis.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu menerusi secara pindahan atas talian pada jam 9.30 pagi, 1 Jun 2017.

Khairul Husni didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta yang sama.

KHAIRUL Husni dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban atas pertuduhan meminta rasuah empat tahun lalu. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin
KHAIRUL Husni dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban atas pertuduhan meminta rasuah empat tahun lalu. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin

Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Prosiding dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan diminta melaporkan diri kepada SPRM Kuala Lumpur setiap bulan dan tertuduh membayar wang jaminan berkenaan.

Mahkamah menetapkan 30 Julai depan untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Jun 2021 @ 12:33 PM