Tertuduh (berkemeja biru) ketika hadir di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu. FOTO Juwan Riduan
Tertuduh (berkemeja biru) ketika hadir di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu. FOTO Juwan Riduan
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Bekas Pengurus Kanan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dipenjara 11 bulan selepas mengaku salah terhadap tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM59,000 pada 2017.

Tertuduh, Sufian Abdul Ghani, 51, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Abu Bakar Manat di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah, di sini, hari ini.

Sufian yang sebelum ini bertugas sebagai Pengurus Kanan Jabatan Pengurusan Gudang dan Logistik SESB didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta yang sama.

Berdasarkan ketiga-tiga pertuduhan, tertuduh secara rasuah menerima wang berjumlah RM59,000 secara berasingan pada 9 Mac, 4 Mei dan 16 Oktober 2017 daripada sebuah syarikat.

Ia sebagai dorongan agar segala urusan tuntutan kerja yang dilakukan syarikat terbabit terhadap Jabatan Pengurusan Gudang dan Logistik SESB lancar.

Suapan itu juga bagi memastikan syarikat berkenaan mendapat projek kerja-kerja kecemasan daripada jabatan terbabit.

Tertuduh mengaku bersalah terhadap semua pertuduhan itu dan bagi pertuduhan pertama, dia dijatuhkan hukuman penjara enam bulan dan denda RM220,000 atau penjara tiga bulan jika gagal membayarnya.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh turut dihukum penjara enam bulan dan denda RM25,000 atau penjara sebulan jika gagal membayarnya, Manakala bagi pertuduhan ketiga, tertuduh dipenjara enam bulan dan denda RM50,000 atau penjara sebulan jika gagal membayarnya.

Hukuman terhadap tertuduh dijalankan serentak.

Tertuduh juga tidak dapat membayar denda berkenaan lalu dikenakan hukuman penjara selama lima bulan lagi untuk ketiga-tiga pertuduhan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Norsham Saharom, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Februari 2022 @ 5:25 PM