JASMIZATUL Syuhada (kiri) diiringi anggota SPRM hadir di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Butterworth didakwa dengan 38 tuduhan pemalsuan cek berjumlah RM140,975 antara 2016 dan 2017. FOTO Danial Saad
JASMIZATUL Syuhada (kiri) diiringi anggota SPRM hadir di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Butterworth didakwa dengan 38 tuduhan pemalsuan cek berjumlah RM140,975 antara 2016 dan 2017. FOTO Danial Saad
Nur Izzati Mohamad

Butterworth: Bekas sukarelawan di pusat pemulihan dalam komuniti (PDK) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas 38 pertuduhan memalsukan cek milik pusat itu berjumlah RM140,975 antara tujuh hingga lapan tahun lalu.

Tertuduh, Jasmizatul Syuhada Jamaluddin, 34, kelihatan tenang ketika membuat pengakuan itu selepas semua kertas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa dengan curang menggunakan 38 cek sebuah bank berjumlah RM140,975.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bank di Bandar Perda antara 9 Mei 2016 hingga 24 April 2017.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 465 kanun yang sama dan sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Bahagian Perundangan dan Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Noor Azura Zulkiflee, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Ketika prosiding itu, Noor Azura menawarkan jaminan keseluruhan RM40,000 terhadap tertuduh, selain syarat tambahan dengan meminta tertuduh melaporkan diri ke pejabat SPRM terdekat setiap bulan.

Pada masa sama, tertuduh juga diminta menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga perbicaraan itu selesai.

Hakim kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM40,000 dengan dua penjamin.

Tertuduh juga diperintahkan untuk mematuhi syarat tambahan seperti yang dikemukakan pihak pendakwaan.

Mahkamah juga menetapkan kes akan disebut semula pada 19 Mac depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 January 2024 @ 1:43 PM