LAPORAN terdahulu Harian Metro
LAPORAN terdahulu Harian Metro
BERNAMA

Kuantan: Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyentuh obor-obor yang terdampar di Pantai Batu Hitam di sini hari ini kerana dibimbangi ia daripada spesies berbahaya.

Pengarah Perikanan Pahang Abdullah Jaafar berkata setakat ini, pihaknya sudah ke lokasi itu bagi mengenal pasti dan mengambil sampel untuk mengesahkan spesies haiwan terbabit selepas menerima maklumat ada individu disengat.

"Buat masa ini, kita menasihatkan orang awam untuk sebaiknya mengelak daripada mandi atau melakukan aktiviti pantai jika melihat kehadiran obor-obor sehingga spesiesnya dapat dipastikan tidak berbahaya.

"Sebelum ini, kita ada sejarah obor-obor berbahaya seperti Portuguese man o' war terdampar di perairan Pantai Timur dan dibimbangi jika obor-obor yang ditemui hari ini juga daripada spesies berbahaya," katanya semasa dihubungi hari ini.

Sementara itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kuantan Kapten (PA) Zaubidah Said berkata, tiga anggota lelaki pasukan itu yang berusia antara 32 dan 34 tahun disengat obor-obor semasa melakukan aktiviti latihan harian di pantai berkenaan pada 10.30 pagi tadi.

"Ketika kejadian, mereka sedang menjalani latihan sebagai penyelamat pantai dan kemudian diberikan rawatan awal serta berada dalam keadaan baik," katanya.

Zaubidah berkata setakat ini, 10 obor-obor ditangkap oleh anggota APM semasa rondaan di pantai itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Mei 2022 @ 7:40 PM