ANTARA obor-obor yang ditemui. FOTO Ihsan Pembaca
ANTARA obor-obor yang ditemui. FOTO Ihsan Pembaca
Nor Amalina Alias


Pasir Puteh: Keghairahan pengunjung mandi-manda di Pantai Tok Bali sehingga tidak menyedari bahaya yang menanti mereka apabila lebih 15 obor-obor berbisa ditemui di pantai itu.

Angkatan Pertahanan Awam (APM) Pasir Puteh mengesan obor-obor jenis Moon Jellyfish spesis Aurelia Aurita memenuhi pantai itu yang menjadi habitatnya.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Pasir Puteh, Kapten Pertahanan Awam (PA) Nik Mohd Nor Nik Mat berkata, apa yang membimbangkan kehadiran obor-obor ini mengundang bahaya kepada pengunjung yang mengambil peluang berada di pantai dan mandi-manda sempena cuti persekolahan dan hujung minggu.

Katanya, justeru itu, pihaknya mengambil tindakan mengibarkan bendera merah di lokasi berkaitan bagi mencegah aktiviti air bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

"Walaupun obor-obor ini tidak berbahaya tetapi sengatannya boleh menjejaskan individu yang mempunyai alergik.

"Jika terkena sengat obor-obor, kena gosok kena pantai pasir dan bersih dengan air yang mengalir," katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Nik Mohd Nor berkata, pihaknya turut menempatkan penyelamat pantai APM di kawasan pantai berkenaan.

"Orang ramai terutama ibu bapa dinasihatkan untuk memantau pergerakan anak-anak dan maklum akan kewujudan haiwan itu.

"Obor-obor ini memang sedia ada di dalam laut ini, namun yang membimbangkan jika hidupan laut ini menyerang pengunjung kerana sebelum ini beberapa kes pengunjung disengat obor-obor dilaporkan di sini, jadi untuk keselamatan bersama, elakkan melakukan aktiviti air dan mandi di sini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 April 2021 @ 12:10 PM