FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Noor Hidayah Tanzizi


Lumut: Pengunjung di pantai Teluk Nipah, Pulau Pangkor, dekat sini yang menemui obor-obor di pantai berkenaan atau sekitarnya diminta memaklumkan kepada Jabatan Perikanan Perak.

Ia susulan kes kanak-kanak lelaki warga Perancis meninggal dunia selepas terkena sengatan obor-obor ketika mandi di pantai Teluk Nipah, Pulau Pangkor dekat sini, Isnin lalu.

Pengarah Perikanan Perak Noraishah Hashim berkata, orang ramai yang melihat atau menemui hidupan marin itu boleh mengambil gambar dan memberikan maklumat itu kepada pihak supaya dapat mengenal pasti spesies obor-obor terbabit.

Menurutnya, setakat ini, pemantauan pihaknya di lokasi kejadian, tidak menemui penampakan obor-obor beracun dan berbahaya seperti dilaporkan media, membabitkan kematian seorang kanak-kanak warga Perancis berusia lima tahun.

"Buat masa ini, Jabatan Perikanan tidak dapat mengenal pasti spesies obor-obor yang ada di pantai terbabit kerana ketika tinjauan diadakan, hari ini (semalam) tiada penampakan hidupan itu.

"(Bagaimanapun) pihak kami akan mengadakan perbincangan dengan pihak berkaitan supaya dapat meletakkan papan tanda mengenai kehadiran obor-obor yang berbahaya.

"Selain itu, (kami) meminta pengunjung lebih berhati-hati ketika mandi dan tidak menyentuh sebarang jenis obor-obor di laut," katanya ketika dihubungi, malam tadi.

Mengulas lanjut, Noraishah berkata, Institut Penyelidikan Perikanan menjalankan kajian pada 2009, 2012 dan 2015 di perairan Malaysia termasuk perairan Teluk Lekir dan Pulau Pangkor membabitkan hidupan marin itu.

"Dapatan kajian mencadangkan tiga spesies obor-obor beracun yang dilaporkan berada di perairan Malaysia iaitu Box Jelly (Chironex fleckeri), Lion's mane jellyfish (Cyanea capillata) dan Portuguese Man of War (Physalia physalis).

"Jika seseorang terkena atau tersentuh dengan bahagian tentacle (sesungut) obor-obor itu, ia boleh memudaratkan dan perlu mendapatkan rawatan dengan segera," katanya.

Semalam media melaporkan, mangsa berusia lima tahun itu dipercayai disengat obor-obor di perut, tangan kiri dan kaki kiri.

Berita berkaitan

Kanak-kanak Perancis maut disengat obor-obor

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Ogos 2022 @ 9:40 AM