AZMIR menunjukkan obor-obor beracun ditemui di Pantai Tok Jembal. FOTO Baharom Bakar
AZMIR menunjukkan obor-obor beracun ditemui di Pantai Tok Jembal. FOTO Baharom Bakar
Baharom Bakar


Kuala Nerus: Obor-obor 'maut' dihanyutkan arus berikutan ombak besar di Pantai Tok Jembal di sini, Selasa lalu.

Obor-obor Kiropsoid Tanggul Luar atau nama saintifiknya Chiropsoides Buitendijki yang masih hidup ditemukan terdampar di Pantai Tok Jembal di belakang Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Kurator Kanan, Pusat Rujukan dan Repositori Laut China Selatan UMT, Azwarina Mohd Azmi Ramasamy berkata, dua obor-obor itu ditemukan oleh penuntutnya, pada 5.30 petang.

Katanya, hasil penyelidikan mendapati sengatan obor-obor itu boleh membawa maut jika mangsa terlewat mendapatkan rawatan dalam masa antara lima dan 10 minit.

"Walaupun hanya dua obor-obor kiropsoid tanggul luar ditemukan, tetapi kita tidak menolak kemungkinan haiwan berbisa itu turut dihanyutkan ombak besar ke pantai lain di negeri ini.

"Hasil penyelidikan dilakukan, kita menemukan sejenis racun yang boleh membawa maut, jika mangsa terlewat menerima rawatan," katanya.

Ketika mengulas tanda awal gigitan obor-obor berkenaan, Azwarina berkata, kulit akan merasa pedih dan bertukar warna menjadi kemerahan serta menggelembung seperti terkena air panas.

Katanya, obor-obor berkenaan sebelum ini tidak ditemukan di perairan negeri ini, tetapi mungkin dihanyutkan oleh ombak besar.

"Individu yang terkena sengatan obor-obor itu digalakkan menggunakan cuka masakan bagi mengurangkan kesakitan disebabkan bisa disengat haiwan laut berkenaan," katanya.

Azwarina berkata, hasil penyelidikan akan dimaklumkan kepada agensi penguat kuasa lain termasuk Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Perikanan.

Ketika mengulas kematian akibat disengat obor-obor di seluruh negara, Azwarina berkata, 14 kematian disebabkan sengatan haiwan laut itu, dilaporkan dalam tempoh enam tahun sejak 2017.

"Kematian disebabkan sengatan obor-obor kotak atau nama saintifiknya Chironex SP kali terakhir membabitkan seorang kanak-kanak berusia lima tahun di Pulau Pangkor, Perak pada Ogos tahun lalu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 January 2024 @ 9:11 AM