ASISTEN Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid. FOTO arkib NSTP
ASISTEN Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid. FOTO arkib NSTP
Raja Noraina Raja Rahim


Petaling Jaya: Suspek yang disyaki menyamun dan menyeret penyampai berita sehingga cedera di Damansara Perdana, dekat sini, akan dituduh di mahkamah esok.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, hanya suspek lelaki didakwa manakala adik perempuannya dijadikan saksi pendakwaan.

"Polis sudah mendapat arahan untuk menuduh suspek di Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada jam 8.30 pagi esok.

"Pendakwaan kes akan dijalankan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun sehingga mendatangkan kecederaan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, dua beradik ditahan bagi membantu siasatan kes penyampai berita TV3, Khairul Rizuan Azizan, 34, yang cedera diseret ketika cuba mengejar penjenayah yang memecah tingkap kereta miliknya di Damansara Perdana dekat sini, pada 5 Mei lalu.

Suspek masing-masing berusia 31 serta 24 tahun ditahan di satu lokasi di Puncak Alam, Selangor.

Polis merampas barang kes dipercayai hasil samun itu termasuk sebuah kereta yang digunakan oleh suspek dalam jenayah itu.

Dalam kejadian 3.40 petang itu, Khairul Rizuan cuba mengejar penjenayah yang memecahkan tingkap kereta miliknya sebelum cedera akibat diseret Perodua Myvi dipandu suspek yang melarikan diri.

Kejadian itu menyebabkan mangsa luka di tangan, jari kanan serta lutut kanan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Mei 2022 @ 8:20 PM