Kuala Lumpur: Rakaman kamera papan pemuka kejadian penyampai berita, Khairul Rizuan Azizan diseret ketika cuba mengejar penjenayah yang memecahkan tingkap kereta miliknya di Damansara Perdana, semalam yang dimuat naik oleh pelakon dan penyanyi popular, Janna Nick menjadi perhatian ramai. 

   Janna yang secara kebetulan melalui lokasi kejadian sebaik pulang dari gimnasium, memuat naik rakaman terbabit di akaun TikTok dan Instagram miliknya yang kini sudah mendapat hampir 600,000 tontonan.

   "Peragut hampir membunuh! Omg! tolong cari jap owner kereta tu. Kesian abang pakai baju Melayu ni. Sampai berdarah-darah tangan kena seret atas jalan. Cermin kereta dia pecah.

   "To abang baju Melayu, i don't have your contact number. Taktau macam mana nak pass this video. Luckily my dashcam ada record," tulisnya yang tidak mengetahui mangsa terbabit adalah penyampai berita. 

   Hantaran ini mendapat reaksi positif dari rakan-rakan artis serta pengikut Janna yang memuji usaha dilakukannya. 

   Malah menerusi komen-komen mereka, dia akhirnya dimaklumkan identiti sebenar mangsa. 

   Dalam kejadian jam 3.40 petang itu, Khairul Rizuan, 34, mengalami luka di tangan, jari kanan serta lutut kanan akibat diseret kereta Perodua Myvi dipandu suspek yang bertindak melarikan diri.

   Ketika kejadian, dia meletakkan kereta Honda City miliknya di tepi jalan untuk ke sebuah kedai serbaneka di lokasi terbabit.

   "Sebaik tiba kedai serbaneka itu, saya mendapati premis berkenaan tutup dan kembali semula ke kereta.

   "Ketika itu, saya melihat seorang lelaki memakai jaket sedang menendang tingkap bahagian penumpang hadapan kereta saya," katanya.

   Beliau berkata, lelaki itu juga dilihat mengambil beg miliknya yang ditinggalkan di dalam kereta.

   "Saya kemudian menjerit ke arah lelaki terbabit menyebabkannya membaling beg itu sebelum melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta.

   "Saya cuba mengejar dan sempat menumbuk mukanya yang ketika itu sudah berada di dalam kereta.

   "Namun, suspek bertindak memecut kereta menyebabkan saya terseret di jalan sebelum dapat melepaskan diri," katanya yang membuat laporan di Balai Polis Damansara berhubung kejadian itu.

 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Mei 2022 @ 3:47 PM