Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed menunjukkan barangan rampasan dalam serbuan Ops Vulture yang berjaya menumpaskan sindiket ahlong. FOTO PDRM
Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed menunjukkan barangan rampasan dalam serbuan Ops Vulture yang berjaya menumpaskan sindiket ahlong. FOTO PDRM
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Mampu tawarkan pinjaman wang ekspres mencecah jumlah RM1 juta kepada mangsa yang terdesak dalam tempoh singkat.

Itu antara kegiatan 38 individu daripada 10 sindiket pemberi pinjaman wang tanpa lesen atau along yang dikesan bergerak aktif di sekitar Lembah Klang.

Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, kesemua sindiket terbabit dipercayai telah beroperasi di Lembah Klang sejak tahun lalu dengan mempromosikan perkhidmatan pinjaman wang melalui iklan pada poster, gegantung dan edaran risalah kepada orang awam.

Menurutnya, semua individu terbabit bagaimanapun berjaya dijejaki dan diberkas anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Selangor baru-baru ini.

Beliau berkata, JSJK melancarkan 10 serbuan berasingan pada 3 Jun sehingga 8 Jun lalu menerusi Ops Vulture di Shah Alam, Petaling Jaya, Subang Jaya, Serdang, Klang Utara, Klang Selatan, Hulu Selangor dan Sungai Buloh.

"Hasil tangkapan ini, polis berjaya menumpaskan beberapa kumpulan along yang disyaki menjalankan aktiviti pemberi pinjam wang tanpa lesen di sekitar Lembah Klang.

"Suspek yang ditangkap terdiri daripada 32 lelaki tempatan, dua wanita tempatan, tiga lelaki warga asing dan seorang wanita warga asing yang berumur lingkungan 21 ke 61 tahun," katanya dalam sidang akhbar secara maya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, tadi.

Arjunaidi berkata, dalam serbuan itu, polis berjaya merampas tujuh kereta pelbagai model, wang tunai berjumlah RM 57,170, 72 unit telefon bimbit pelbagai jenama, sembilan komputer dan peralatan komputer dan jam tangan.

"Semua yang dirampas ini dipercayai digadai oleh peminjam. Polis turut merampas 61 keping kad-kad ATM pelbagai bank yang dipercayai milik peminjam dan pelbagai dokumen pinjaman, cek pelbagai bank serta salinan rekod peribadi peminjam," katanya.

Beliau berkata sindiket berkenaan menawarkan pinjaman sehingga RM1 juta dengan kadar bunga yang tinggi iaitu 10 hingga 15 peratus sebulan.

Selain itu, Arjunaidi berkata terdapat enam kes dilaporkan membabitkan sindiket along berkenaan yang menawarkan pinjaman wang tidak wujud yang dipromosikan melalui pelbagai platform dalam talian seperti WhatsApp, Facebook dan Instagram.

"Mangsa tidak mendapat wang sebaliknya mereka diperdaya untuk membuat pinjaman yang tidak wujud contohnya memohon pinjaman RM10,000 tapi perlu mengeluarkan wang sendiri hingga RM15,000," katanya.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 15(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 (Akta 400), Seksyen 420 Kanun Keseksaan (KK); Seksyen 506 KK, Seksyen 55 (B) Akta Imigresen 1959/63; Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Jun 2021 @ 6:43 PM