GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Sindiket pemberi pinjaman wang tidak berlesen atau along dikesan mengupah peminjam untuk melakukan kerja menyimbah cat dan menghantar notis ugutan kepada peminjam lain.

Taktik terbaru sindiket itu dibongkar Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman selepas menerima dua laporan polis daripada mangsa di Sabah.

Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, pihaknya mengesan wujud aktiviti penawaran kerja oleh sindiket along kepada peminjam dalam dua keadaan.

"Bagi individu yang pinjaman mereka tidak diluluskan oleh along, mereka ditawarkan untuk bekerja sebagai penyimbah cat atau penghantar notis ugutan dan diberi upah atas kerja dilakukan.

"Bagi peminjam gagal melunaskan pembayaran pula, mereka diminta bekerja dengan along dan jumlah hutang mereka akan ditolak berdasarkan kerja diselesaikan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, tindakan bersekongkol dengan sindiket berkenaan sama ada secara rela atau paksaan untuk melakukan gangguan dan khianat adalah perbuatan jenayah.

Katanya, individu yang didapati terbabit boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 (Akta 400), Seksyen 29B(1) akta sama, Seksyen 506 Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 427 KK dan Seksyen 436 KK serta Akta Pencegahan Jenayah 1959.

"Berdasarkan rekod, sejak Januari hingga September tahun ini sejumlah 644 kes pemberi pinjaman wang tanpa lesen disiasat oleh polis.

"Walaupun pelbagai pembanterasan dilaksanakan, namun kegiatan sindiket itu masih berlaku dipercayai kerana wujudnya permintaan di kalangan peminjam," katanya.

Justeru, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat pinjaman dengan mana-mana institusi pinjaman wang tidak berlesen dan tidak terbabit sebagai pekerja along walaupun secara paksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Oktober 2021 @ 5:59 PM