Amir Abd Hamid

Putrajaya: Ibu bapa yang anak lelaki mereka berusia 16 tahun membawa kenderaan pelbagai guna (MPV) dan melanggar pemotong rumput hingga maut di Sungai Petani, Kedah, kelmarin, bakal berdepan tindakan tegas.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, jika mengikutkan Akta Pengangkutan Jalan 1987, tindakan boleh dikenakan kepada pemilik kenderaan yang membenarkan anak atau individu bawah umur memandu kenderaan milik mereka.

Beliau berkata, undang-undang yang sudah ditetapkan adalah untuk melindungi pengguna jalan raya.

"Kalau budak itu tak ada lesen dan tak ada insurans, macam mana dia boleh bawa kenderaan. Kalau tak ada lesen memang tidak ada perlindungan insuran. Kita jaga pengguna jalan raya lain.

"Undang-undang kita kata mesti memiliki Lesen Memandu Malaysia dan umur 17 tahun baru layak, ini langsung tak layak.

"Macam mana boleh bawa MPV langgar orang, siapa harus dipersalahkan," katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Jemaah Menteri di Kompleks Seri Perdana, di sini, semalam.

Dalam kemalangan jam 11 pagi kelmarin, seorang pemotong rumput warga Myanmar, Cinglowpa, 29, maut manakala rakan senegaranya, Jamal Husson Fozol Haque, 33, parah selepas dirempuh kenderaan jenis Perodua Alza ketika berehat di Jalan Pintasan Semeling berhampiran Taman Malinja, Bedong, Sungai Petani.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kedah Superintendan Mohd Mahiri Hussain dilaporkan berkata, siasatan mendapati ketika kejadian, kedua-dua mangsa sedang berehat selepas memesin rumput di kawasan berhampiran.

Bagaimanapun, katanya, sebuah MPV yang datang dari arah lampu isyarat Semeling hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu kiri jalan dan merempuh dua pokok.

"Kita percaya MPV terbabit dipandu laju dan selepas merempuh pokok, ia turut merempuh dua mangsa terbabit sehingga menyebabkan seorang daripadanya meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, remaja lelaki yang juga pelajar sekolah menengah itu sudah ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda untuk siasatan lanjut dan polis akan memanggil ibu bapanya bagi mengetahui bagaimana dia dapat memandu kenderaan terbabit tanpa pengawasan penjaga.

WEE Ka Siong ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Jemaah Menteri di Kompleks Seri Perdana. FOTO Asyraf Hamzah
WEE Ka Siong ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Jemaah Menteri di Kompleks Seri Perdana. FOTO Asyraf Hamzah

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Mei 2022 @ 4:06 PM