LELAKI warga Myanmar meninggal dunia akibat parah di kepala manakala rakan senegara berusia 33 tahun patah bahu kanan selepas dirempuh sebuah MPV ketika mereka sedang berehat di bahu jalan.
LELAKI warga Myanmar meninggal dunia akibat parah di kepala manakala rakan senegara berusia 33 tahun patah bahu kanan selepas dirempuh sebuah MPV ketika mereka sedang berehat di bahu jalan.
Izad Thaqif Hassan

Sungai Petani: Remaja bawah umur pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) yang merempuh dua pemotong rumput hingga menyebabkan seorang maut di Jalan Pintasan Semeling di sini, semalam dibebaskan dengan jaminan polis.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, setakat ini polis sudah mengambil keterangan daripada remaja lelaki berusia 16 tahun itu untuk melengkapkan siasatan sebelum dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya.

"Setakat ini, ujian air kencing dijalankan terhadap remaja berkenaan mendapati dia bebas daripada sebarang pengaruh dadah," katanya ketika ditemui di pejabatnya, hari ini.

Zaidy berkata, hasil pemeriksaan mendapati remaja yang juga pelajar di sebuah sekolah menengah itu menggunakan MPV berkenaan tanpa pengetahuan bapanya.

"Siasatan awal mendapati bapa remaja terbabit yang juga pemilik Perodua Alza itu tiada di rumah kerana menghadiri satu majlis perkahwinan.

"Kita difahamkan yang kunci kenderaan ditinggalkan di rumah dan kesempatan itu diambil remaja berkenaan untuk memandu MPV terbabit tanpa pengetahuan bapanya," katanya.

Menurutnya, setakat ini siasatan mendapati remaja itu memandu laju sehingga membuatkan MPV berkenaan hilang kawalan serta terbabas dan merempuh dua pokok.

MPV berkenaan kemudian merempuh pula dua pekerja pemotong rumput yang ketika itu sedang berehat di bahu jalan.

Dalam kejadian jam 11 pagi semalam, lelaki warga Myanmar, Cinglowpa, 20, meninggal dunia akibat parah di kepala manakala rakan senegara berusia 33 tahun patah bahu kanan selepas dirempuh sebuah MPV ketika mereka sedang berehat di bahu jalan.

MPV yang dikatakan dipandu laju itu hilang kawalan serta terbabas dan merempuh dua pokok sebelum ia merempuh pula dua mangsa berkenaan.

Ketika kejadian, mangsa yang meninggal dunia sedang duduk atas rumput manakala rakannya yang parah pula berada atas motosikal yang diletakkan di bahu jalan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Mei 2022 @ 2:44 PM