BAHAGIAN tempat duduk belakang Perodua Viva yang diubahsuai menjadi tangki tambahan untuk mengisi petrol untuk diseludup ke Thailand. FOTO Ihsan KPDNHEP
BAHAGIAN tempat duduk belakang Perodua Viva yang diubahsuai menjadi tangki tambahan untuk mengisi petrol untuk diseludup ke Thailand. FOTO Ihsan KPDNHEP
Siti Rohana Idris


Pasir Mas: Sebuah Perodua Viva memuatkan 200 liter petrol disyaki cuba diseludup ke Thailand ditinggalkan di pangkalan haram Kampung Kolam, di sini, selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa, semalam.

Dalam kejadian pada 2.40 petang, anggota Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA8) dan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga, Pengkalan Kubor ternampak kenderaan itu dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Pegawai Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan, Aswadi Jaafar berkata, pemeriksaan mendapati bahagian belakang kereta itu diubah suai kerana terdapat tangki tambahan disyaki bagi menyeludup petrol.

"Terdapat 200 liter petrol dalam tangki ubah suai itu yang mana hampir empat kali ganda pengisian yang sepatutnya untuk kenderaan itu.

"Semua barang kawalan (petrol) dan kenderaan itu disita dengan nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM15,471.50," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, kes akan disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

"Kita percaya aktiviti penyeludupan sentiasa berlaku tanpa mengira waktu dan kawalan serta rondaan dijalankan setiap masa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Mei 2022 @ 5:21 PM