Mohd Rizal Abdullah


HANYA dengan bermodalkan RM5,000, sebuah kenderaan pacuan empat roda Mitsubishi Pajero diubah suai menjadi ‘lori tangki’ yang mampu memuatkan sehingga 1,200 liter diesel atau petrol.

Bagaimanapun, perbuatan lelaki berusia 30-an itu tidak bertahan lama apabila ditahan sepasukan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perlis pada 12.15 tengah hari semalam.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Perlis Mohamad Amir Abdullah berkata, lelaki terbabit dikesan dalam keadaan mencurigakan di sebuah stesen minyak di Padang Besar.

Menurutnya, pihaknya membuat pemeriksaan dan menemui 200 liter diesel dalam dua tangki tambahan di dalam kenderaan itu.

“Bagaimanapun, hasil pemeriksaan ternyata mengejutkan apabila terdapat tiga lagi tangki tambahan ditemui di bawah kenderaan itu menjadikan keseluruhan berjumlah lima tangki.

Mohamad Amir menunjukkan tangki minyak diubahsuai di bawah pacuan empat roda yang ditahan di Stor Eksibit KPDNHEP Bukit Kayu Hitam, hari ini. Foto Shahrizal Md Noor
Mohamad Amir menunjukkan tangki minyak diubahsuai di bawah pacuan empat roda yang ditahan di Stor Eksibit KPDNHEP Bukit Kayu Hitam, hari ini. Foto Shahrizal Md Noor

“Hasil soal siasat, lelaki terbabit mengakui mengubah suai kenderaan itu di Thailand hingga boleh memuatkan 1,200 liter minyak dalam satu masa,” katanya ketika ditemui di Stor Eksibit KPDNHEP Bukit Kayu Hitam, hari ini.

Menurutnya, lelaki terbabit dipercayai mengisi minyak di beberapa stesen minyak bagi mengaburi mata pihak berkuasa sebelum diseludup ke negara jiran.

“Siasatan lanjut masih dijalankan termasuk pemilik stesen minyak bagi mengenal pasti sama ada mereka terbabit dalam kegiatan itu.

“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Perkara 3(1) Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Julai 2019 @ 1:40 PM