Ab Ghani memeriksa kenderaan yang diubahsuai untuk kegiatan penyeludupan minyak selepas sidang media di Stor KPDNKK, Chica Menyabong, Kota Bharu, hari ini. FOTO Fathil Asri
Ab Ghani memeriksa kenderaan yang diubahsuai untuk kegiatan penyeludupan minyak selepas sidang media di Stor KPDNKK, Chica Menyabong, Kota Bharu, hari ini. FOTO Fathil Asri
Siti Nor Hidayatidayu Razali


TIGA penyeludup warga asing yang menyeludup minyak petrol ditahan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kelantan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang, Isnin lalu.

Semua lelaki berusia 40-an itu ditahan serentak dalam tiga kenderaan berasingan yang diubah suai pada 11.40 pagi.

Pengarahnya Datuk Ab Ghani Harun berkata, menerusi Ops Khas Bekalan, pihaknya merampas minyak petrol sebanyak 309 liter dan tiga kereta masing-masing dua jenis Proton Saga dan sebuah kereta Proton Wira.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati tiga penyeludup itu bertindak licik apabila mengubahsuai kenderaan mereka di bahagian tangki, but, tempat duduk hadapan dan belakang bagi memuatkan 1,000 liter petrol.

Katanya, kereta normal hanya dapat mengisi sebanyak 70 liter petrol sahaja.

"Mereka akan mengisi minyak petrol di empat stesen di Rantau Panjang iaitu sekitar 200 liter di sebuah stesen bagi mengelakkan kegiatan mereka terbongkar.

"Mereka akan menyeberangi ke negara jiran menerusi ICQS untuk menjual minyak petrol itu pada harga yang tinggi memandangkan nilai mata wang kita lebih rendah berbanding negara jiran.

"Namun hasil pemantauan dan risikan, kita berjaya menahan mereka untuk tindakan lanjut," katanya dalam sidang media di Stor Simpanan KPDNKK di Chicha Menyabong, Kota Bharu, hari ini.

Beliau berkata, tiga penyeludup itu direman selama empat hari bermula Isnin hingga hari ini dan mereka diambil tindakan oleh Mahkamah Pasir Mas apabila dua daripadanya didenda sebanyak RM10,000 dan seorang RM7,000 menerusi Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Katanya, pemilik stesen minyak perlu memberi kerjasama bagi mengekang penyeludupan minyak petrol.

"Kita juga mengehadkan penjualan bahan api sebanyak 600,000 liter sahaja kepada stesen minyak di sekitar 20 kilometer dari sempadan negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Oktober 2017 @ 1:37 PM