Pegawai KPDNKK memeriksa pikap bernombor pendaftaran Thailand yang diubah suai tangkinya untuk menyeludup petrol. - EIZAIRI SHAMSUDIN
Pegawai KPDNKK memeriksa pikap bernombor pendaftaran Thailand yang diubah suai tangkinya untuk menyeludup petrol. - EIZAIRI SHAMSUDIN
Aizat Sharif


Kangar: Sebanyak 280 liter minyak petrol RON95 yang cuba diseludup ke Thailand menggunakan tangki minyak dalam pikap diubahsuai dirampas anggota Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Perlis di Padang Besar hari ini.

Dalam kejadian 10 pagi itu, sepasukan anggota KPDNKK Perlis diketuai Penolong Pegawai Penguatkuasa, Mohd Syamsul Amin Yusof membuat pemeriksaan di sebuah gudang menjual petroleum di Kawasan Perindustrian Padang Besar.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNKK Perlis, Jamal Nor Ahmad Harun berkata, ketika pemeriksaan seorang lelaki berusia 30-an sedang leka mengisi minyak ke dalam Toyota Hilux.

“Lelaki itu ditahan dan pikap berkenaan dibawa ke stor simpanan KPDNKK di Behor Pulai untuk pemeriksaan lanjut.

“Kami menemui 280 liter petrol dalam dalam tangki minyak pikap itu yang diubahsuai,” katanya di di sini, tadi.

Menurutnya, tangki minyak pikap berkenaan hanya boleh diisi 80 liter namun diubahsuai untuk memuat 200 liter lagi petrol.

Gudang itu mempunyai lesen menjual minyak namun KPDNKK tidak membenarkan minyak dijual menggunakan tangki diubahsuai, hanya menggunakan tangki asal kenderaan.

Harga petrol di Thailand ialah RM3.60 seliter berbanding RM1.95 di Malaysia.

Suspek ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1 juta dan penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 November 2016 @ 4:03 PM