KERETA jenis Proton Wira yang diubah suai tangki minyak untuk kegiatan menyeludup diesel di ICQS Rantau Panjang. FOTO IHSAN KPDNHEP
KERETA jenis Proton Wira yang diubah suai tangki minyak untuk kegiatan menyeludup diesel di ICQS Rantau Panjang. FOTO IHSAN KPDNHEP
Syaherah Mustafa


LELAKI tempatan ditahan selepas mengubah suai tangki asal bahan api kenderaan miliknya dalam operasi di Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang, hari ini.

Ketua Pegawai Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan, Azanizam Affendi Juri berkata, suspek berusia 25 tahun itu mengubah suai tangki kenderaan pacuan empat roda untuk diisi diesel.

“Dalam operasi pada 12.25 tengah hari tadi, kami menemui 225 liter diesel diisi di dalam tangki minyak terbabit yang dipercayai untuk diseludup ke negara jiran.

“Kami difahamkan, tangki minyak diubah suai kepada saiz besar supaya lebih banyak diesel dapat diisi dan diseludup,” katanya.

Azanizam berkata, operasi membabitkan 10 anggota dan pegawai KPDNHEP turut mendapat kerjasama Pasukan Polis Marin (PPM) dan Pasukan Gerakan Am (PGA).

Sementara itu, Azanizam berkata, pihaknya turut menahan sebuah kereta Proton Wira yang didapati turut melakukan kesalahan sama dengan mengisi 115 liter petrol.

“Namun, ketika pemeriksaan dijalankan suspek berjaya melarikan diri ke negara jiran.

“Kedua-dua suspek yang melakukan kesalahan ini dipercayai baru sahaja mengisi petrol di stesen minyak berdekatan pekan Rantau Panjang,” katanya.

Menurutnya, kedua-dua kenderaan itu disita dan kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Katanya, kawalan sentiasa dijalankan bagi mengatasi masalah penyeludupan terutama di kawasan sempadan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mac 2020 @ 7:01 PM