ORANG ramai kelihatan sibuk mengurus tiket di Terminal Bersepadu Selatan sempena Aidilfitri. FOTO Owee Ah Chun
ORANG ramai kelihatan sibuk mengurus tiket di Terminal Bersepadu Selatan sempena Aidilfitri. FOTO Owee Ah Chun
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Statistik menunjukkan peningkatan pemberitahuan balik kampung oleh orang ramai kepada pihak polis menjelang Aidilfitri.

Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman Datuk Aidi Ismail berkata, pada Op Selamat ke-15 2019 sebelum pandemik Covid-19 adalah sebanyak 4,539 pemberitahuan berbanding 8,082 bagi Op Selamat ke-18 2022 dalam tempoh dua hari operasi itu.

Katanya, jika dilihat dari statistik tempoh itu mengenai pemberitahuan balik kampung dengan jumlah rendah adalah disebabkan beberapa faktor.

"Ada yang masih belum balik kampung untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas pada hujung minggu.

"Mereka yang tinggal di apartmen atau kondominium yang dikawal oleh petugas keselamatan biasanya tidak memaklumkan pemberitahuan balik kampung kepada polis.

"Begitu juga kebanyakan penghuni taman perumahan sudah adakan gated security dan dikawal oleh petugas keselamatan swasta," katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Selain itu, katanya, ramai juga mendapat kerjasama jiran mereka yang tak balik beraya atau beragama bukan Islam yang tolong memantau kediaman mereka.

Beliau berkata, faktor lain tidak melakukan pemberitahuan kepada polis ialah rumah sudah dipasang dengan sistem keselamatan seperti ADT atau dipasang sistem kamera litar tertutup (CCTV).

"Namun, bagi mereka yang sudah pun berlepas pulang ke kampung halaman tetapi terlupa memaklumkan kepada pihak polis, bolehlah menghubungi balai yang berkenaan untuk memaklumkan tarikh mereka meninggalkan rumah mereka.

"Apa pun, dari statistik juga menunjukkan pertambahan pemakluman bermakna lebih ramai masyarakat sudah mengambil maklum saranan polis mengenai menjaga keselamatan rumah masing masing," katanya.

Op Selamat ke-18 sempena Aidilfiti dilancarkan selama 10 hari bermula 29 April hingga 8 Mei ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Mei 2022 @ 7:42 PM