KEADAAN Sungai Terus, Pasir Salak sepanjang kira-kira 5 kilometer dipenuhi semak-samun tebal antaranya berpunca akibat lama tidak diselenggara selain aliran sungai yang sudah sebu. Foto Muhamad Lokman Khairi
KEADAAN Sungai Terus, Pasir Salak sepanjang kira-kira 5 kilometer dipenuhi semak-samun tebal antaranya berpunca akibat lama tidak diselenggara selain aliran sungai yang sudah sebu. Foto Muhamad Lokman Khairi
Muhamad Lokman Khairi


Pasir Salak: Lebih 100 penduduk di empat kampung dalam Mukim Pasir Panjang Hulu di sini terjejas mata pencarian akibat Sungai Terus yang menjadi nadi kehidupan di sini bertukar menjadi 'sungai mati' sejak 20 tahun lalu.

Tinjauan Harian Metro di lokasi mendapati sungai yang terbentuk secara semula jadi merintangi Kampung Pulau Besar, Kampung Pulau Gajah, Kampung Seberang Terus dan Kampung Kuala Kinta kini cetek dan keruh.

Bukan itu sahaja, jika dilihat dengan mata kasar kemungkinan besar tiada siapa menyedari kewujudan sungai sepanjang kira-kira lima kilometer ini berikutan dilitupi semak-samun tebal menandakan ia dipenuhi lumpur dan salirannya sudah lama tidak diselenggara.

Ia menghubungkan Sungai Perak di bahagian hulu dan mengalir ke Sungai Kinta di bahagian Hilir.

Penduduk, Zam Mat Piah, 70, berkata, kejadian itu berpunca daripada pemasangan struktur pintu kepak atau flap gate di bahagian hulu Kampung Pulau Gajah di sini yang mengakibatkan aliran Sungai Perak terhalang daripada memasuki laluan Sungai Terus sejak 20 tahun lalu.

"Dahulu sungai ini hidup. Ini lubuk rezeki kami orang kampung dengan hasil sungai seperti ikan dan udang, malah ia juga menjadi jalan pengangkutan air dengan ada penduduk kampung usahakan bot tambang.

"Tapi keadaan sungai ini sudah berubah wajah sampai sebu dan mati.

ZANUDDIN (kiri) dan Zambri menunjukkan keadaan Sungai Terus dipenuhi semak-samun. Foto Muhamad Lokman Khairi
ZANUDDIN (kiri) dan Zambri menunjukkan keadaan Sungai Terus dipenuhi semak-samun. Foto Muhamad Lokman Khairi

"Apabila air sungai tidak lagi mengalir, lumpur mula terkumpul sehingga tumbuhan liar tumbuh mencacatkan kelestarian sungai," katanya.

Penduduk, Zanuddin Alias, 52, berkata, keadaan sungai yang dipenuhi semak-samun kerana sudah hampir setahun tidak dicuci berisiko menjadi habitat haiwan berbisa hingga mendatangkan ancaman keselamatan kepada orang kampung.

"Jika musim panas, kemungkinan besar ular yang bersembunyi di semak ini keluar dan mencari kawasan teduh dan sejuk. Orang kampung paling risau ia masuk ke rumah, pasti membahayakan nyawa ahli keluarga kami," katanya.

Zanuddin mendakwa, kontraktor yang pernah menyelenggara sungai itu sebelum ini menjanjikan untuk melakukan kerja-kerja selenggara dan memperdalamkan sungai setiap enam bulan sekali.

Bagaimanapun menurutnya, kerja penyelenggaraan di Sungai Terus yang terakhir adalah Disember tahun lalu, tahun ini tidak dilakukan langsung.

Peniaga nasi lemak, Azman Abdul Wahab, 40, berkata, keadaan sungai itu menyebabkan majoriti penduduk yang hidup sebagai nelayan darat hilang mata pencarian kerana tidak lagi melakukan aktiviti perikanan.

"Mungkin ada yang bertanya kenapa tak turun ke Sungai Kinta dan Sungai Perak kan? Dua sungai itu lebar dan luas ditambah fenomena pasang surut, jadi perlukan modal yang besar seperti enjin bot dan minyak.

AIR tidak lagi dapat mengalir selepas ‘flap gate’ dipasang di bahagian hulu Sungai Terus. Foto Muhamad Lokman Khairi
AIR tidak lagi dapat mengalir selepas ‘flap gate’ dipasang di bahagian hulu Sungai Terus. Foto Muhamad Lokman Khairi

"Bukan semua orang kampung mampu. Orang sini mata pencarian utama di Sungai Terus, bukan sungai besar sana (Sungai Kinta dan Sungai Perak) yang berisiko tinggi kerana ada buaya," katanya.

Menurutnya, tidak semua penduduk mampu beralih mencari rezeki dengan aktiviti lain seperti pertanian.

"Harapkan berkebun, siapa yang ada tanah sahaja boleh. Bagi yang tiada tanah, bagaimana hendak cari makan? "Kalau berterusan begini, silap hari bulan anak cucu kami pun tak tahu di sini ada sungai," katanya.

Penduduk, Zambri Saidon, 53, berkata, penduduk kampung pernah menyuarakan cadangan supaya Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menanggalkan flap gate di hulu Kampung Pulau Besar supaya air Sungai Perak boleh mengalir semula.

Katanya, ia disuarakan dalam mesyuarat bersama jabatan itu tahun lalu, namun belum ada jawapan rasmi setakat ini.

Katanya, penduduk kampung difahamkan, pembukaan flap gate berkenaan dikhuatiri boleh menyebabkan kejadian banjir kepada di bahagian hilir Sungai Kinta iaitu Kampung Tersusun Teluk Memali.

Tinjauan di lokasi juga menemukan kunci air gate lock steering yang boleh dilaras secara manual, terletak antara flap gate dengan Sungai Terus.

AZMAN (kanan) dan Zambri (tengah) menunjukkan pintu kepak atau ‘flap gate’ yang dipasang Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS)  di Kampung Pulau Besar hingga menyebabkan air Sungai Perak tidak boleh memasuki laluan Sungai Terus. Foto Muhamad Lokman Khairi
AZMAN (kanan) dan Zambri (tengah) menunjukkan pintu kepak atau ‘flap gate’ yang dipasang Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di Kampung Pulau Besar hingga menyebabkan air Sungai Perak tidak boleh memasuki laluan Sungai Terus. Foto Muhamad Lokman Khairi

Zambri mendakwa, kunci air gate lock steering itu sudah mencukupi untuk tujuan mengawasi aliran air sungai dan mengelakkan kejadian banjir tanpa perlu lagi flap gate.

"Sekiranya cadangan kami supaya flap gate ditanggalkan itu diterima, penduduk di sini cukup bersyukur gembira kerana sungai yang kami membesar dengan hasilnya ini boleh dilestarikan semula," katanya.

Ikuti penjelasan pihak berkuasa berhubung isu ini dalam terbitan Harian Metro esok.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Disember 2023 @ 7:01 AM