Datuk Mat Kasim Karimi mengagihkan cenderahati kepada pengunjung yang singgah di stesen minyak Petronas pada Majlis Pelancaran Jelajah Op Selamat 18 PDRM bersama Petronas sempena Hari Raya Aidilfitri 2022 dan Go-To-Safety-Point (GTSP) di Stesen Minyak Petronas Solaris Putra, Sungai Besi hari ini. FOTO BERNAMA
Datuk Mat Kasim Karimi mengagihkan cenderahati kepada pengunjung yang singgah di stesen minyak Petronas pada Majlis Pelancaran Jelajah Op Selamat 18 PDRM bersama Petronas sempena Hari Raya Aidilfitri 2022 dan Go-To-Safety-Point (GTSP) di Stesen Minyak Petronas Solaris Putra, Sungai Besi hari ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini melancarkan Jelajah Op Selamat ke-18 bersama Petronas sempena Hari Raya Aidilfitri 2022 dan Go-To-Safety-Point (GTSP) untuk mendidik pengguna jalan raya lebih berhemah, cakna mengenai aspek keselamatan agar risiko kemalangan dapat dielakkan.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman Datuk Mat Kassim Karim berkata jelajah tiga hari yang disertai 250 pegawai dan anggota polis serta Petronas bermula hari ini dan membabitkan stesen minyak Petronas di lokasi terpilih mengikut zon di seluruh negeri termasuk di Sabah dan Sarawak.

"Petugas jelajah akan berkonvoi menggunakan pelbagai jenis kenderaan dan tiba di lokasi stesen minyak yang ditetapkan, polis kontinjen dan daerah akan turut serta bersama pasukan ini bagi menjalankan advokasi sambil menyantuni masyarakat mengenai pentingnya mematuhi peraturan demi menjaga keselamatan diri dan keluarga di jalan raya.

"Turut didedahkan peranan (GTSP) kepada orang ramai jika berlaku situasi kecemasan dan tindakan awal sebelum bantuan tiba memandangkan ramai dalam kalangan mereka akan bergerak ke destinasi dan balik ke kampung halaman masing-masing sempena cuti Aidilfitri," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Jelajah Op Selamat ke-18 PDRM bersama Petronas sempena Hari Raya Aidilfitri 2022 dan GTSP di Stesen Minyak Petronas Solaris Putra, Sungai Besi, di sini, semalam.

Beliau berkata mesej yang disampaikan melalui jelajah Op Selamat ke-18 itu juga mampu memberi kesan positif jangka panjang yang lebih baik dalam memenuhi kehendak masyarakat masa kini.

"Keselamatan jalan raya bukan semata-mata tugas hakiki pihak trafik tetapi kerjasama semua pihak termasuk pengguna jalan raya itu sendiri," katanya.

Mat Kassim berkata berdasarkan pengalaman pada Op Selamat ke-17 sempena Tahun Baharu Cina lalu, didapati masih ramai pengguna jalan raya yang gagal mematuhi peraturan dan keselamatan jalan raya.

Beliau berkata Op Selamat ke-18 sempena Aidilfitri akan dilancarkan pada 26 April di peringkat Bukit Aman dan akan bermula dari 29 April hingga 8 Mei ini dengan mengekalkan tema 'Rumah Selamat, Selamat Sampai ke Destinasi'.

Mat Kasim berkata PDRM akan terus komited dalam memantau perkembangan semua jalan-jalan utama di seluruh negara bagi memastikan aliran trafik lancar dan selamat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 April 2022 @ 4:30 PM