MUHAMMAD Faisal (kiri) dan wakil Bersih, Asraf Sharafi Mohd Azhar menyerahkan notis pemakluman himpunan #Reformasi100Peratus kepada polis, hari ini.
MUHAMMAD Faisal (kiri) dan wakil Bersih, Asraf Sharafi Mohd Azhar menyerahkan notis pemakluman himpunan #Reformasi100Peratus kepada polis, hari ini.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menyerahkan notis pemakluman kepada pihak polis, hari ini.

Pengerusi badan pemantau pilihan raya itu, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, pihaknya menyerahkan notis berkenaan pada 1 tengah hari tadi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

"Saya dan Asraf Sharafi Mohd Azhar mewakili Bersih selesai menyerahkan notis makluman kepada IPD Dang Wangi berhubung himpunan tuntut #Reformasi100Peratus di Parlimen esok.

"Serahan notis ini adalah sebagai jawapan kepada kenyataan Ketua Polis Kuala Lumpur (Datuk Allaudeen Abdul Majid) berkenaan isu notis di bawah Akta Perhimpunan Aman 2021," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, Bersih merakamkan terima kasih kepada pihak polis atas kerjasama serta jaminan keselamatan untuk himpunan esok.

Semalam, polis memaklumkan tidak menerima sebarang pemberitahuan berhubung penganjuran Perhimpunan Tuntut Reformasi 100 Peratus di Parlimen.

Sementara itu, Allaudeen berkata, mengikut Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012, notis pemberitahuan perlu diserahkan sekurang-kurangnya lima hari daripada tarikh berhimpun.

"Di bawah peruntukan Seksyen 9 (1) APA 2012, notis pemberitahuan bersama dokumen sokongan perlu diserahkan lima hari daripada tarikh perhimpunan tersebut dianjurkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Februari 2024 @ 4:23 PM